Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

191) PENGANGKUTAN AWAM YANG MAMPAN

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan Negeri dalam memperluaskan akses pengangkutan awam, di kawasan luar dan pinggir bandar, bagi memastikan mobiliti yang lebih cekap dan mesra alam?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa bersedia untuk memberikan kemudahan yang terbaik kepada rakyat Negeri Selangor tidak kira sama ada di kawasan bandar mahupun kawasan luar bandar. Kerajaan Negeri Selangor juga mengambil maklum keperluan untuk mewujudkan satu sistem pengangkutan awam lengkap yang boleh menghubungkan antara kawasan luar bandar dan bandar-bandar utama. Kerajaan Negeri sedang membangunkan Pelan Induk Mobiliti Selangor untuk mengenalpasti keperluan perkhidmatan pengangkutan awam negeri yang akan membantu melancarkan pergerakan pengguna termasuk pengguna dari kawasan luar bandar ke kawasan bandar-bandar utama.

    Selain daripada itu, pihak PBT juga sentiasa melaksanakan kajian untuk mengenalpasti keperluan pertambahan laluan-laluan bas berdasarkan permintaan pengguna, termasuk laluan dari kawasan luar bandar ke kawasan bandar-bandar utama.

    Selain daripada perkhidmatan bas, cadangan pembangunan Jajaran Rel Selangor juga adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri untuk menghubungkan kawasan luar bandar ke kawasan bandar-bandar utama, yang akan membantu mobilisasi pengguna secara harian.

  2. Apakah pengangkutan awam di kawasan tersebut tidak dapat sambutan seperti dijangka disebabkan penggunaan kenderaan persendirian?

    Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pengangkutan awam di sesuatu kawasan tidak mendapat sambutan pengguna, di mana salah satunya adalah pengguna lebih selesa menggunakan kenderaan persendirian untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Selain daripada itu, faktor kekerapan jadual pergerakan bas dan isu ketersambungan juga menjadi punca pengguna memilih untuk menggunakan mod pengangkutan lain selain pengangkutan awam. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri memfokuskan kepada peningkatan capaian first mile last mile yang dijangka akan dapat meningkatkan jumlah penggunaan pengangkutan awam sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan pengguna kepada kenderaan persendirian di mana antara inisiatif lain Kerajaan Negeri untuk menyokong sistem pengangkutan awam negeri adalah dengan pelaksanaan Demand-Responsive Transit (DRT) serta pembinaan laluan pejalan kaki yang menghubungkan ke kawasan tumpuan utama dan lokasi pengangkutan awam.

Lampiran

Tiada Lampiran.