Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
19 November - 22 November 2013 dan 25 November - 29 November 2013
52) PENGANGKUTAN AWAM PERCUMA
Tahun: 2013
Sesi: 3
Isu: Pengangkutan
Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Pengangkutan awam percuma yang digariskan dalam manifesto PRU-13 Pakatan meliputi kawasan bandar seperti Shah Alam, Petaling Jaya dan Kajang. Apakah status perancangan negeri terhadap cadangan tersebut?
Kertas cadangan pelaksanaan perkhidmatan pengangkutan awam percuma telah dikemukakan oleh lapan (8) buah PBT kawasan bandaraya dan perbandaran(MBSA, MBPJ, MPK, MPAJ, MPSJ, MPS, MPKj dan MPSP). Namun demikian, setiap cadangan rangka kerja perkhidmatan bas awam percuma tersebut akan diperhalusi dalam mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan agar kemudahan dan perkhidmatan yang diberikan berkesan. Walau bagaimanapun, sejak tahun 2008, MBPJ merupakan PBT yang pertama berjaya menyediakan perkhidmatan bas komuniti kepada penduduk di kawasan pentadbiran MBPJ yang berpendapatan rendah dan warga emas. Perkhidmatan ini diberikan dari jam 9.30 pagi sehingga jam 2.30 petang dan bas memuatkan kapasiti seramai 30 orang. MBPJ mempunyai 2 buah bas komuniti yang meliputi laluan mengikut zon iaitu Zon Petaling Jaya Selatan (PJS) dan Zon Petaling Jaya Utara (PJU).
-
Apakah kerajaan negeri telah bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) bagi pelaksanaan inisiatif ini?
Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dengan pihak SPAD bagi memastikan sistem pengangkutan awam di negeri Selangor selari dengan pembangunan pesat dan peningkatan penduduk. Untuk tujuan tersebut, Jawatankuasa Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat yang di selaras oleh pihak SPAD dan UPEN akan membincangkan pelaksanaan inisiatif ini secara bersepadu. Faktor yang harus diambil kira ialah perkhidmatan “Feeder Bus” yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi perhubungan kawasan kejiranan dengan stesen pengangkutan rel (MRT/LRT) tidak bertindih.
-
Adakah kerajaan negeri bercadang untuk memperluaskan perkhidmatan ini di kawasan luar bandar atau pinggir bandar?
Pelaksanaan perkhidmatan ini akan diperluas ke kawasan luar bandar dan pinggiran bandar apabila permintaan meningkat di kawasan-kawasan tersebut.