Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

36) PENGANGKUTAN AWAM PERCUMA

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Haji Zaidy Bin Haji Abdul Talib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah status perlaksanaan janji manifesto ini?

    Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan janji seperti yang dinyatakan dalam manifesto iaitu menyediakan pengangkutan awam percuma di Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya dan Kajang.

    Program Pengangkutan Awam Percuma atau Perkhidmatan Bas Komuniti di Shah Alam telah dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Manakala bagi kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), kajian telah dilaksanakan untuk tujuan pelaksanaan.

  2. Berapakah kos yang telah diperuntukkan untuk perlaksanaan program ini?

    Kerajaan Negeri Selangor dan PBT berkenaan perlu memberi penelitian yang rapi akan usaha menyediakan pengangkutan awam percuma kerana melibatkan kos dan pelaburan bagi merealisasikan manifesto ini. Anggaran kos yang perlu ditanggung PBT yang dinyatakan adalah seperti berikut:

    1. Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)

    Kos yang ditanggung oleh MBSA adalah sebanyak RM629,076.00 setahun. Ini melibatkan kos bagi pembelian bas, kos petrol/minyak, servis enjin, pemandu dan kos penyelenggaraan.

    1. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)

    Kos yang ditanggung oleh MBPJ adalah sebanyak RM418,000.00 yang melibatkan pembelian dua (2) buah bas dan kos penyelenggaraan setahun.

    • Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)

    Kos yang ditanggung oleh MPSJ bagi pembelian sebuah bas serta kos penyelenggaraan dan pengurusan adalah sebanyak RM346,000.00. Manakala kos bagi penyewaan bas adalah RM420,000.00 hingga RM584,000.00 bergantung kepada syarikat penyedia bas.

    1. Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)

    Kos yang perlu ditanggung oleh MPKj adalah sebanyak RM120,000.00 setahun bagi kos perkhidmatan dengan kaedah pelaksanaan secara kontrak atau perjanjian antara MPKj dan syarikat pengangkutan bas sedia ada.

  3. Bilakah program ini mampu dinikmati oleh rakyat Selangor ?

    Perkhidmatan Bas Komuniti di Shah Alam telah mula beroperasi pada 4 Mac 2014 (Selasa) bermula di Hentian Pusat Bandar, Seksyen 14 dan melalui Seksyen 2, 7, 11, 14, 15, 16, 17 dan 18. Bas ini beroperasi pada hari bekerja sahaja (Isnin – Jumaat). Perkhidmatan Bas Komuniti beroperasi 3 kali sehari dari Hentian Pusat Bandaraya jam 7.30 pagi, 11.30 pagi dan 4.30 petang.

    Manakala bagi kawasan Petaling Jaya, perkhidmatan ini telah lama dilaksanakan iaitu pada Julai 2008 dan peringkat seterusnya adalah penambahbaikan bagi pelaksanaan perkhidmatan bas percuma sedia ada dengan penambahan laluan baru bagi menampung pertambahan permintaan.

    Perkhidmatan bas komuniti ini juga akan diperluaskan oleh MPSJ dan MPKj di kawasan masing-masing secara berperingkat setelah mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri demi memastikan pelaksanaan ini dapat dinikmati dan memberi manfaat kepada semua.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.