Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

126) PENGANGKUTAN AWAM LEMBAH KLANG

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bilakah Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu Shah Alam akan mula dibina?

    Rancangan untuk membina Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu Shah Alam masih diperingkat kajian. Sehubungan itu, Pihak MBSA telah mengadakan perbincangan dengan pihak SIME DARBY untuk menempatkan terminal tersebut di Elmina West. Cadangan ini seterusnya akan dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).  Terminal ini akan berfungsi sebagai terminal bersepadu pengangkutan awam bagi kawasan utara.

    Selain daripada itu, pihak MBSA juga akan membangunkan terminal-terminal kecil di Seksyen 17 untuk perkhidmatan bas antara negeri.  Pihak MBSA juga sedang membangunkan Kompleks Tempat Letak Kereta sebanyak 600 petak dengan peruntukan RM3 juta di bawah Kementerian Pengangkutan di bawah NKRA Pengangkutan Awam untuk kemudahan penduduk dan pengguna Komuter di Stesen Seksyen 19. Pihak MBSA juga sedang membiayai terminalterminal yang baru di sepanjang laluan LRT apabila laluan tersebut dimuktamadkan.

  2. Berapakah anggaran kos dan apakah kemudahan-kemudahan yang terdapat?

    Cadangan terminal pengangkutan bersepadu ini masih dalam proses perancangan dan kos pembinaan masih belum ditentukan. Kemudahankemudahan yang akan disediakan adalah mirip dengan Terminal Bersepadu Pengangkutan Selatan – Bandar Tasik Selatan iaitu kemudahan bas awam, bas ekspres, pengangkutan rel (LRT,MRT &komuter) dan teksi.

  3. Bilakah perkhidmatan bas percuma di bandar-bandar utama Selangor akan dimulakan?

    Kerajaan Negeri masih dalam peringkat kajian bagi melaksanakan kemudahan pengangkutan bas awam percuma memandangkan ia melibatkan kos pelaksanaan yang amat tinggi. Walau bagaimanapun, sejak tahun 2008 pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah melaksanakan perkhidmatan bas komuniti di kawasan MBPJ. Sehingga kini, terdapat 2 buah Bas Komuniti yang beroperasi di sekitar kawasan Petaling Jaya Utara (PJU) dan Petaling Jaya Selatan (PJS).

    Selain itu, pada masa ini pihak MPSJ dan SPAD sedang melaksanakan kajian jajaran bagi projek Bus Rapid Transit (BRT) Jalan Sunway di Subang Jaya. Jajaran BRT merupakan laluan dua (2) hala sepanjang hampir 5.4 km akan menghubungkan kawasan-kawasan strategik di Bandar Sunway dan Subang. Mempunyai 7 `halt’ di sepanjang laluannya yang mana `halt’ ke-7 akan diintegrasikan dengan cadangan Stesen LRT No. 7, iaitu stesen untuk `extention’ LRT Subang Jaya yang sedang dibina.  `Halt’ 1 dan`halt’ 2 adalah di bawah pentadbiran MBPJ sementara `halt’ 3, `halt’ 4, `halt’ 5 dan `halt’ 6 di bawah pentadbiran MPSJ.

    Selain itu, Ahli Jawatankuasa Rancangan Induk pengangkutan Awam (RIPAD) dan SPAD mempunyai cadangan bagi melaksanakan sistem Bus Rapid Transit (BRT) fasa pertama di Lembah Klang yang merangkumi jajaran dari Kuala Lumpur hingga Klang dijangka akan beroperasi pada tahun 2016. Pada masa ini pihak SPAD juga masih di dalam peringkat perbincangan bersama pihak JKR berkaitan bentuk-bentuk pelebaran jalan yang sesuai untuk membina lorong bas.

Lampiran

Tiada Lampiran.