Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
177) PENGANGKUTAN AWAM DAN KEMUDAHAN AWAM DI KAWASAN PELANCONGAN
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Tuan Bakhtiar Bin Mohd Nor
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan bercadang untuk menambah laluan bas ke pusat tumpuan pelancong di Selangor contohnya seperti Bukit Broga Semenyih?
Sambutan terhadap perkhidmatan Bas Smart Selangor yang sangat memberangsangkan telah menyakinkan Kerajaan Negeri untuk sentiasa menambahbaik perkhidmatan ini dengan pertambahan jumlah bas serta tambahan laluan-laluan baru yang menepati kriteria-kriteria yang telah ditetapkan iaitu:
- Menepati struktur Bus Network Revamp oleh SPAD iaitu tidak bertindih dengan laluan operator perkhidmatan bas sedia ada;
- Perlu mengutamakan laluan kawasan-kawasan tumpuan pembangunan, perumahan padat dan jalan yang tidak dilalui oleh perkhidmatan bas lain;
- Lokasi bagi laluan bas percuma ini adalah di kawasan tumpuan kemudahan awam seperti pusat kesihatan, pejabat kerajaan, sekolah, stesen komuter, stesen LRT dan sebagainya serta kawasan komersil dan kompleks perniagaan; dan
- Mempunyai connectivity dengan sistem pengangkutan yang lain seperti stesen komuter atau stesen LRT/MRT/BRT.
Untuk makluman Yang Berhormat, terdapat laluan-laluan Bas Smart Selangor sedia ada yang melalui kawasan tumpuan pelancong seperti di Klang dan Kuala Selangor, namun bagi kawasan seperti Bukit Broga, Semenyih, selain daripada kriteria-kriteria yang dinyatakan, faktor-faktor lain juga perlu diambilkira oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum dicadangkan untuk pelaksanaan seperti keadaan jalan yang berbukit dan kawasan yang curam adalah tidak sesuai untuk laluan harian bas. Namun, kajian keperluan dan permintaan perlu dilaksanakan terlebih dahulu oleh PBT dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengkaji kesesuaian laluan bagi operasi di kawasan tersebut demi keselamatan pengguna. Berdasarkan maklumat daripada APAD, laluan perkhidmatan bas sedia ada di Semenyih adalah dari Bandar Kesuma ke Pekan Kajang dengan melalui Jalan Semenyih, manakala perkhidmatan ke Bukit Broga buat masa ini tiada dalam perancangan kerana faktor kawasan penduduk.
-
Berapakah peruntukan dibelanjakan bagi menaiktaraf kawasan pelancongan di Selangor sepanjang tahun 2017?
Pada tahun 2017, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta kepada Jawatankuasa Tetap Pelancongan Negeri bagi tujuan menaik taraf kawasan pelancongan di bawah perkara Menaik Taraf Produk
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1,225,957.42 telah dibelanjakan bagi tujuan menaik taraf produk pelancongan selepas mengambil kira penjimatan dan perbelanjaan bersih serta sebahagian peruntukan lagi telah dipindahkan untuk menampung perbelanjaan aktiviti promosi dan acara pelancongan negeri pada tahun tersebut.