Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016
2) PENGANGKUTAN AWAM
Tahun: 2016
Sesi: 2
Isu: Pengangkutan
Adun: Y.B. Tuan Ir. Haji Mohd Haslin Bin Hassan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah bas Smart Selangor yang telah beroperasi dan nyatakan laluan yang terilibat.
Sejak dilancarkan pada 1 Julai 2015 sehingga 30 Jun 2016, sebelas (11) laluan telah diperkenalkan dengan 34 buah Bas Smart Selangor digunakan di semua daerah kecuali di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang telah mempunyai bas komuniti sendiri iaitu PJ CityBus sebanyak 22 buah bas. Bagi laluan tambahan terbaru pada tahun 2016, Bas Smart Selangor telah beroperasi di kawasan pentadbiran Ampang Jaya, Kajang, Sepang, Kuala Langat, Selayang, Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.
Laluan-laluan Bas Smart Selangor pada masa ini melibatkan laluan-laluan berikut:
- Laluan Bas Smart Selangor MBSA
- Dari Stesen Komuter Shah Alam Seksyen 19 ke Hospital Shah Alam, Seksyen 7.
- Laluan Bas Smart Selangor MPSJ
- Dari Persiaran Bakti (MPSJ) ke Persiaran Murni (Sekolah Agama Bestari).
- Laluan Bas Smart Selangor MPK
- Dari SRJK (C) Kong Hoe / Jalan Batu Tiga Lama Ke Plaza MPK (Mydin) / Jalan Pos Baru.
- Laluan Bas Smart Selangor MPAJ
- Dari Jalan Ukay Perdana ke Jalan Taman Melawati.
- Laluan Bas Smart Selangor MPKj
- Dari/Ke Kompleks Hentian Kajang melalui Jalan Reko, Persiaran Bangi, Persiaran Cempaka, Jalan 7/2, Jalan 7/5, Jalan 7/1, Jalan Wan Siew, Jalan Sungai Chua, Jalan Mendaling, Jalan Tukang, Jalan Besar, Jalan Cheras dan Jalan Timur.
- Laluan Bas Smart Selangor MPS
- Dari Selayang Mutiara ke Terminal Putra Gombak.
- Laluan Bas Smart Selangor MPSp
- Dari Klinik Kesihatan Tanjong Sepat ke Stesen ERL Kota Warisan.
- Dari Bandar Baru Salak Tinggi ke Stesen ERL Kota Warisan.
- Laluan Bas Smart Selangor MDKL
- Dari Bandar Banting ke Stesen ERL Kota Warisan.
- Laluan Bas Smart Selangor MDSB – Dari/ke Sekinchan ke/dari Sabak Bernam.
- Laluan Bas Smart Selangor MDKS
- Dari Terminal Bas dan Teksi Kuala Selangor – Tanjong Karang – Perhentian Bas Sekinchan.
- Laluan Bas Smart Selangor MDHS
– Terminal Bas Kuala Kubu Bharu – ke/dari Terminal Bas Bukit Sentosa.
- Laluan Bas Smart Selangor MBSA
-
Berapakah kos operasi yang telah dibelanjakan sehingga akhir Jun 2016?
Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM12,317,278.64 bagi pelaksanaan Bas Smart Selangor di sebelas kawasan pentadbiran PBT di Negeri Selangor. Keseluruhan kos tersebut adalah bagi 34 buah yang digunakan dan ianya merupakan kos sewaan, wrapping, penyelenggaraan dan cukai barangan dan perkhidmatan sebanyak 6 peratus (6%) bagi tempoh 12 bulan (setahun). Manakala bagi bas komuniti PJ CityBus pula, bagi tahun 2015 Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah membelanjakan sebanyak RM2.92 juta manakala untuk tahun 2016 MBPJ telah memperuntukan sebanyak RM6,599,000.00.
-
Adakah kerajaan berhasrat untuk terus menyediakan pekhidmatan bas Smart Selangor ini secara percuma?
Inisiatif Kerajaan Negeri dalam melaksanakan Program Bas Smart Selangor bukanlah bertujuan untuk mendapatkan keuntungan. Sebaliknya objektif Bas Smart Selangor ini adalah untuk menggalakkan penggunakan pengangkutan awam oleh semua lapisan masyarakat, disamping dapat mengurangkan bebanan kewangan bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang menggunakan perkhidmatan awam di dalam urusan harian.
Sejak dilancarkan pada 1 Julai 2015 hingga 30 Jun 2016, penumpang Bas Smart Selangor telah menjangkau sehingga 1,951,530 penumpang. Oleh yang demikian, berdasarkan jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor setakat ini dan permintaan-permintaan untuk menambah lagi jumlah perkhidmatan tersebut yang banyak diterima, Kerajaan Negeri percaya bahawa masyarakat menerima baik perkhidmatan ini di samping mengharap supaya perkhidmatan ini diperluaskan ke kawasan lain.
Kelangsungan perkhidmatan Bas Smart Selangor juga bergantung kepada komitmen yang diberikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri serta faktor kewangan terutama untuk menyedia dan mengekalkan lebih banyak laluan operasi Bas Smart Selangor di semua PBT.