Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
195) PENGANGKUTAN AWAM
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Pengangkutan
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan sasaran % penggunaan pengangkutan awam yang ingin dicapai oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan 60 peratus (60%) penggunaan pengangkutan awam berbanding 40 peratus (40%) penggunaan kenderaan persendirian menjelang tahun 2035 seperti yang terkandung di dalam Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor (PIPANS). Sasaran tersebut juga selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk mencapai objektif ke arah ‘Smart State’ menjelang 2035.
Buat masa ini, pelan induk dan rancangan struktur seperti PIPANS, Rancangan Struktur Negeri (RSN) merupakan sumber rujukan yang boleh diguna pakai oleh pihak-pihak luar yang berkepentingan untuk merealisasikan saranan-saranan yang dinyatakan kerana kos bagi penyediaan pengangkutan awam amat tinggi dan perancangan ke arah tersebut juga memerlukan penglibatan pelbagai pihak khususnya di peringkat Kerajaan Persekutuan memandangkan sektor ini bukanlah di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri sepenuhnya. Kemampuan penyediaan juga tertakluk kepada kedudukan kewangan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan yang terhad diperuntukkan bagi pembangunan ekonomi yang lebih penting untuk diutamakan berbanding penyediaan pengangkutan awam yang memerlukan kos lebih tinggi.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak mengambil mudah akan isu dan keperluan semasa, namun saranan-saranan yang dinyatakan di dalam pelan induk dan rancangan struktur sedia ada merupakan sumber rujukan penting untuk memastikan Negeri Selangor mempunyai lingkaran pengangkutan awam yang menyeluruh dan terhubung dengan baik serta berkesan untuk menggalakkan orang awam menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan sendiri.
Untuk makluman Yang Berhormat, integrasi laluan Bas Smart Selangor yang mempunyai kesalinghubungan (connectivity) dengan laluan dan perkhidmatan pengangkutan awam yang lain seperti komuter, MRT, LRT dan BRT telah memberi kesan kepada orang ramai serta mendorong mereka untuk menggunakan pengangkutan awam. Peningkatan jumlah penumpang Bas Smart Selangor dari tahun 2017 hingga 2019 telah menunjukkan sambutan dan kecenderungan rakyat dalam penggunaan pengangkutan awam yang disediakan. Ini berdasarkan trend peningkatan yang baik bagi tiga (3) tahun tersebut iaitu dari 10.65 juta pada tahun 2017 ke 14.43 juta pada tahun 2018 dan 15.61 juta pada tahun 2019, manakala statistik penumpang bagi tahun 2020 adalah sebanyak 3.8 juta (dari 1 Januari 2020 hingga 31 Mei 2020). Kapasiti penumpang pada tahun 2020 sedikit terjejas akibat penularan COVID-19 apabila perkhidmatan bas ini perlu ditangguhkan sementara waktu apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dan langkah-langkah pencegahan seperti penjarakan sosial di dalam bas turut diperkenalkan apabila pengoperasian bermula pada 6 Mei 2020.
INFO RUJUKAN :
Pecahan Statistik Penumpang Mengikut Tahun
- Tahun 2015 : 546,661 (01 Julai – 31 Disember 2015)
- Tahun 2016 : 4,1162,019
- Tahun 2017 : 10,653,827
- Tahun 2018 : 14,434,719
- Tahun 2019` : 15,612,196
- Tahun 2020 : 3,852,767 (01 Januari – 31 Mei 2020)
-
Sila bekalkan peta biru untuk menunjukkan cara bagaimana sasaran tersebut akan dicapai?
Jawapan seperti di Sub Soalan A