Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010
30) PENGANGKUTAN
Tahun: 2010
Sesi: 2
Isu: Pengangkutan
Adun: Y.B. Tuan Manoharan A/l Malayalam
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah masalah-masalah pengangkutan yang sering kali dihadapi oleh para penduduk di Negeri Selangor?
Masalah-masalah pengangkutan yang sering kali dihadapi oleh penduduk di Negeri
Selangor antaranya seperti berikut:
1. Kesesakan lalu lintas di jalan-jalan utama disebabkan penumpuan bilangan
kenderaan yang sangat tinggi pada satu-satu masa. Kesesakan lebih ketara di
pusat bandar terutamanya pada waktu puncak semasa pergi dan balik kerja.
Dianggarkan pertambahan bilangan kenderaan di Negeri Selangor dan Kuala
Lumpur adalah 100,000 unit/setahun boleh menjana kesesakan lalu lintas yang
lebih serius.
2. Tempat letak kenderaan tidak mencukupi terutama di pusat bandar yang
menjadi tumpuan utama yang tidak dapat menampung keperluan pengguna.
Oleh itu, pengguna akan meletakkan kenderaan mereka secara tidak sah di bahu
jalan yang akan menganggu lalu lintas di kawasan tersebut.
3. Jalan perkhidmatan (service road) tidak disediakan di kawasan perniagaan
akan menyebabkan berlakunya konflik dalam aliran lalu lintas dan laluan pejalan
kaki.
4. Perkhidmatan bas dan teksi tidak menyeluruh dan kawasan laluan ditahap
yang rendah terutamanya di kawasan pendalaman. Kurangnya perkhidmatan bas
terus dari suatu tempat ke pusat bandar menyebabkan pengguna terpaksa transit
untuk sampai ke kawasan pusat bandar. Bagi perkhidmatan teksi, pengusaha
hanya menunggu pengguna di stesen teksi dan pusat tumpuan sahaja dan
kurang bergerak untuk mendapatkan pelanggan.
5. Tiada terminal pengangkutan awam bersepadu di bandar-bandar utama yang
boleh mengintegrasikan semua mod pengangkutan awam supaya tahap
kebolehsampaian pengguna lebih cepat dan mudah ke destinasi yang dituju.
6. Pengurusan lalu lintas yang tidak efisyen menyebabkan kenderaan
terperangkap di dalam bandar terutama di waktu puncak dan tiada pandu arah
jalan yang jelas untuk memudahkan pengguna.
7. Kurang kemudahan sokongan golongan OKU terutama di pusat bandar.
Penyediaan kemudahan OKU seperti di kawasan tempat letak kenderaan,
perhentian bas, stesen komuter atau LRT menyulitkan golongan istimewa ini
untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut. -
Di manakah jalanraya-jalanraya yang paling sesak sepanjang masa di dalam Negeri Selangor pada masa kini?
Mengikut data daripada Bahagian Perancangan Jalan, Kementerian Kerja Raya bagi
tahun 2008, jalan paling sesak sepanjang masa mengikut yang tertinggi adalah seperti
berikut:-
i- Lebuhraya Persekutuan FT 02, Kuala Lumpur – Klang dengan jumlah
kenderaan sebanyak 394,821 kenderaan/ hari. Jalan ini adalah piawaian U5/
Dual-three sepanjang 21 km.
ii- Jalan Negeri B 22, Jalan Batu Caves sebanyak 192,982 kenderaan/ hari.
Jalan ini adalah sepanjang 2.3 km.
iii- Jalan Persekutuan FT 3215, Jalan Putra Permai sebanyak 189,045
kenderaan/ hari. Jalan ini adalah sepanjang 9.5 km.
iv- Jalan Negeri B 11, Jalan Kajang – Puchong sebanyak 165,406
kenderaan/hari. Jalan ini adalah sepanjang 23 km.
v- Jalan Persekutuan FT 54, Jalan Kuala Selangor – Kepong sebanyak 131,808
kenderaan/ hari. Jalan ini adalah sepanjang 47.3 km. -
Apakah langkah-langkah yang telah diambil dan sedang diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi mengatasi masalah kesesakan jalanraya-jalanraya di Negeri Selangor pada masa kini?
Antara langkah-langkah yang telah diambil untuk mengatasi masalah kesesakan jalan
raya di bandar terutamanya di Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya, Klang,
Ampang Jaya, Selayang dan Kajang dengan melaksanakan dasar sistem
pengangkutan awam yang lebih menyeluruh di Negeri Selangor.
Perluasan Sistem Pengangkutan Awam dengan menghubungkan Negeri Selangor
dalam tempoh satu (1) jam perjalanan merupakan salah satu perkara penting yang
diberi tumpuan khusus di dalam Pakej Ransangan Ekonomi 2009 Kerajaan Negeri
Selangor. Antara program penting yang menjadi teras adalah seperti berikut :
i. Memastikan pengukuhan sistem pengangkutan awam di Negeri Selangor dapat
meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
ii. Modal Split dari 90:10 ke 50:50.
iii. ‘One Hour Public Transport Model’
iv. Cadangan sambungan LRT Laluan Ampang dan LRT Laluan Kelana Jaya.
v. Menyambung Laluan LRT dari Kelana Jaya ke Klang dan Laluan Kota
Damansara ke Kajang.
vi. Terminal pengangkutan Awam Bersepadu (Bas, Teksi, LRT diintegrasikan
dalam terminal pengangkutan awam seperti di Bandar Tasik Selatan, Taman
Melati dan Sungai Buloh).
vii. Menambah penyediaan sistem pengangkutan ke seluruh kawasan dalam
Negeri Selangor.
viii. Menambah perkhidmatan ‘bas henti-henti’ antara bandar dalam Negeri
Selangor Kerajaan Negeri juga telah menyediakan Pelan Pembangunan untuk jaringan
pengangkutan. Ini berdasarkan kepada Rancangan Struktur Negeri Selangor 2020
(RSN Selangor 2020) yang diwartakan pada 14 Jun 2007 No Warta 1541. RSN
Selangor 2020 memberi penekanan kepada konsep pembangunan berorientasikan
transit. Konsep tersebut untuk mewujudkan rangkaian pengangkutan awam yang
cekap dan pembangunan perbandaran yang tertumpu di kawasan pusat transit. Ia
bertujuan untuk mengoptimumkan potensi pembangunan di pusat-pusat
pengangkutan bersepadu di samping mengatasi masalah kesesakan dan konflik lalu
lintas.
Dasar-dasar tersebut adalah menjurus kepada mengadaptasikan konsep ’Transit
Oriented Development’ (TOD) di dalam dasar pembangunan di Negeri Selangor.
Konsep TOD juga telah diterapkan secara khusus di dalam Rancangan-Rancangan
Tempatan dan Draf-Draf Rancangan Tempatan di Negeri Selangor. Cadangancadangan sistem pengangkutan bersepadu ini mengintegrasikan pengangkutan
berasaskan komuter, LRT, priorty bus lane, jaringan jalan raya dan terminal
pengangkutan awam bersepadu.
Kerajaan Negeri juga telah memberi pandangan kepada Pelan Tempatan Bandaraya
Kuala Lumpur 2020 supaya cadangan sistem pengangkutan awam diselaraskan
dengan Kajian Pelan Integrasi Pengangkutan Awam dan Gunatanah Lembah Klang.
Cadangan pengangkutan awam berasaskan rel di dalam Pelan Tempatan
Bandaraya Kuala Lumpur 2020 perlu mengambilkira kedudukan Negeri Selangor
terutama lima (5) Pihak Berkuasa Tempatan yang terlibat iaitu MBPJ, MPSJ, MPKj,
MP Selayang dan MPAJ.
Antara perancangan jangkamasa pendek yang dicadangkan untuk meningkatkan
sistem pengangkutan awam di kawasan Subang Jaya dan Petaling Jaya adalah
Projek Cadangan sambungan LRT Laluan Ampang (AMG) dan LRT Laluan Kelana
Jaya (KLJ) oleh Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB).
Sambungan LRT Laluan Ampang sepanjang 17.7 km akan bermula dari Stesen Sri
Petaling sedia ada dan berakhir di Puchong/USJ – Bandar Putra Heights. Bagi
sambungan LRT Laluan Kelana Jaya sepanjang 17 km akan bermula dari Stesen
Kelana Jaya dan berakhir di Puchong/USJ – Bandar Putra Heights. Daripada 26
stesen, sebanyak 13 stesen akan disediakan kemudahan ‘Park & Ride’ dengan
disediakan tempat letak kereta keseluruhan berjumlah 5,872.