Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015
112) PENGANGGURAN DI KALANGAN BELIA
Tahun: 2015
Sesi: 1
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Tuan Budiman Bin Mohd Zohdi
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah kadar pengangguran belia di Selangor?
Berdasarkan kepada sumber yang diperolehi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah terkini belia menganggur di Negeri Selangor iaitu pada tahun 2013 adalah sebanyak 71,500 atau 2.5% orang berbanding 5.8 juta penduduk di Negeri Selangor.
-
Apakah faktor-faktor turun naik peluang pekerjaan di Selangor ?
Faktor-faktor turun naik peluang pekerjaan di Selangor yang berlaku sekarang adalah sebagaimana berikut :-
- Berpunca daripada penggantian buruh dengan mesin, kemunduran dalam industri dan kemelesetan ekonomi dunia.
- Keadaan ekonomi di mana berlaku fasa penurunan dan peningkatan di samping matawang yang kurang stabil dalam pasaran.
- Sikap rakyat tempatan yang terlalu memilih pekerjaan berdasarkan kelayakan akademik dan hanya graduan akan memilih pekerjaan yang dirasai sesuai dengan kelayakan akademik masing-masing menyebabkan kadar pengangguran boleh meningkat.
- Sikap pekerja yang gemar menukar tempat kerja, mereka ini tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri serta jemu dengan apa yang dilakukan juga menyumbang kepada faktor turun naik kadar pengangguran di Negeri Selangor.
-
Apakah tindakan yang dibuat untuk mengurangkan kadar pengangguran?
Kerajaan Negeri Selangor berusaha untuk mengurangkan masalah pengangguran di kalangan belia dengan memberi peluang pendidikan kepada golongan remaja dan belia yang berkelayakan melalui bidang pendidikan sebagai persediaan ke arah melahirkan belia yang berpendidikan dan berdaya saing pada masa hadapan. Usaha ini dapat dilihat apabila Kerajaan Negeri menubuhkan Universiti Selangor (UNISEL) yang menyediakan pelbagai kursus dan bidang pengajian dari peringkat Diploma sehingga peringkat PhD seperti berikut :-
- Kejuruteraan
- Pendidikan dan Sains Sosial
- Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
- Sains dan Bioteknologi
- Pengurusan Perniagaan
- Media dan Komunikasi
- Sains Kesihatan
- Seni Lukis dan Rekabentuk.
Seterusnya, Kerajaan Negeri Selangor juga berusaha memberi peluang kepada Belia yang tidak berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang akademik untuk menceburi bidang latihan, teknikal dan kemahiran yang dikendalikan oleh Inspen International College (INPENS). Usaha-usaha ini merupakan bantuan Kerajaan Negeri kepada Belia bagi membantu mereka mendapatkan peluang pekerjaan pada masa hadapan dalam bidang seperti kecantikan, automatif, pendandan rambut, elektrik, elektronik, mekanik motorsikal, sistem komputer dan penyaman udara.