Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

82) PENGANGGURAN BELIA

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kadar pengangguran belia pada tahun 2021 berbanding tahun lepas?

    Berdasarkan Statistik Tenaga Buruh yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, penganggur adalah merujuk kepada mereka yang tidak bekerja dan sedang mencari pekerjaan. Pada tahun 2020, kadar pengangguran di negeri Selangor adalah 4.3 peratus merekodkan 156.2 ribu penganggur. Bagi kumpulan belia yang berumur 15-30 tahun, kadar pengangguran yang dicatatkan pada tahun tersebut adalah 7.4 peratus dengan sejumlah 83.2 ribu belia menganggur. Lebih daripada separuh atau 53.5 peratus penganggur di negeri Selangor adalah dalam kategori belia.

    Secara keseluruhannya, pada suku pertama (ST1) 2021 merekodkan seramai
    173.2 ribu penganggur di negeri Selangor, meningkat 93.1 ribu orang berbanding suku yang sama tahun 2020. Manakala, kadar pengangguran juga meningkat 2.2 mata peratus kepada 4.5 peratus pada suku tahun tersebut.

  2. Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk menangani isu pengangguran dan "upskill" belia?

    Kerajaan Negerti Selangor telah menawarkan beberapa inisiatif bagi menangani isi pengangguran dan peningkatan kemahiran (upskilling) belia seperti berikut:

    Program Karnival Kerjaya – Jelajah Selangor Bekerja

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan  Modal Insan telah merancang untuk meneruskan Program Karnival Kerjaya – Jelajah Selangor Bekerja Tahun 2021 sebanyak enam (6) siri di beberapa lokasi di daerah Selangor seperti daerah Petaling, Klang, Sabak Bernam dan Hulu Selangor. Program Jelajah Selangor Bekerja atau dahulunya dikenali sebagai Program Selangor Job Fair akan dilaksanakan secara bersiri sebagai salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk mengurangkan kadar pengangguran di kalangan rakyat Selangor khususnya golongan belia yang terkesan sepanjang pandemik Covid 19. Namun begitu, program ini hanya akan diteruskan semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara.

    Program Inisiatif Kemahiran Teknikal Dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS)

    Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan inisiatif baharu melalui Program IKTISASS yang bertujuan untuk melahirkan golongan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), belia tercicir serta berkeperluan khas dan graduan dengan memberi latihan dalam bidang kemahiran teknikal dan professional seiring dengan keperluan industri semasa. Pada tahun 2021, di bawah Program IKTISASS telah melaksanakan Program  SELatih Sure – Selatih Strategik Upskilling Reskilling dengan kerjasama  Selangor Human Resources Development Centre (SHRDC) yang dijangka boleh membantu memulihkan peluang tenaga kerja di Selangor di dalam menghadapi kemelesetan peluang pekerjaan terutamanya semasa pandemik Covid 19.

    Program Selangor Kerjaya

    Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) juga telah mengadakan satu inisiatif baharu iaitu Program Selangor Kerjaya yang bertujuan untuk membantu rakyat Selangor mencari pekerjaan. Program ini menawarkan peluang pekerjaan melalui pemadanan kerjaya yang berkesan melalui Potal Selangor Kerjaya melalui laman web dengan pautan https://www.selangortalentportal.com.my. Kemudahan Selangor Talent Portal adalah diberi secara percuma kepada majikan yang mahu mengiklankan jawatan kosong dan individu yang ingin mencari peluang pekerjaan, di mana mereka hanya perlu mendaftar dengan Selangor Talent Portal.

    Calon akan melalui penilaian profil serta pemadanan kerjaya tertakluk kepada pekerjaan yang diiklankan dan pemilihan tersebut akan dilakukan oleh majikan yang berdaftar sebelum penempatan kerja sebenar berlaku. Setelah penempatan kerja berlaku, calon akan diberikan latihan – latihan profesional dan akses pembelajaran atas talian selama dua belas (12) bulan.

Lampiran

Tiada Lampiran.