Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

142) PENGANGGURAN

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan kadar pengangguran golongan belia di Selangor mengikut daerah.

    Bilangan penganggur di negeri Selangor yang direkodkan pada tahun 2020 adalah seramai 156,200 orang dengan kadar pengangguran pada 4.3 peratus. Berbanding tahun 2019, kadar pengangguran yang direkodkan pada tahun 2020 adalah lebih tinggi berikutan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan langkah kawalan keselamatan bagi mencegah wabak tersebut. Hampir kesemua daerah mencatatkan peningkatan kadar pengangguran pada tahun 2020 kecuali daerah Kuala Langat, Sabak Bernam dan Hulu Selangor. Kadar pengangguran melebihi 4 peratus (%) yang telah direkodkan adalah seperti berikut:

    Bil. Daerah Kadar Pengangguran (%)
    1. Hulu Langat 5.2
    2. Kuala Selangor 5.1
    3. Gombak 4.8
    4. Petaling 4.3
    5. Sepang 4.3

     

    Sementara itu, kadar pengangguran di bawah empat peratus (%) yang telah direkodkan adalah seperti berikut :

     

    Bil. Daerah Kadar Pengangguran (%)
    1. Klang 3.7
    2. Kuala Langat 2.8
    3. Sabak Bernam 2.7
    4. Hulu Selangor 2.1

    Kerajaan Negeri mensasarkan peratus kadar pengangguran bagi suku pertama tahun 2022 adalah di bawah 3.0 peratus

  2. Apakah program sepanjang tahun 2022 yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk memberi peluang kepada golongan belia mencari kerja?

    Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk membantu golongan belia khususnya mendapat pekerjaan. Antara program yang telah dilaksanakan seperti berikut:

    i. Melaksanakan Program Karnival Kerjaya – Jelajah Selangor Bekerja

    Kerajaan Negeri di bawah Exco Generasi Muda, Sukan & Modal Insan telah melaksanakan Program Karnival Kerjaya – Jelajah Selangor Bekerja yang merupakan satu medium interaksi yang proaktif di antara pemohon pekerjaan dengan pihak industri dalam menyediakan peluang pekerjaan berdasarkan kelayakan, personaliti dan minat. Program ini juga akan membantu syarikat atau industri yang memerlukan tenaga kerja warga tempatan dan sekaligus dapat mengatasi kadar pengangguran negeri Selangor berikutan kadar kehilangan pekerjaan yang semakin meningkat disebabkan pandemik covid-19.

    Pada tahun 2021, sebanyak enam (6) siri program Karnival Kerjaya telah berjaya dilaksanakan. Penganjuran program ini di lokasi yang berbeza adalah bertujuan untuk memudahkan pemohon di kawasan berdekatan hadir ke program tersebut dengan penglibatan industri-industri di kawasan sekitar. Tarikh dan lokasi program adalah seperti berikut:

    Tarikh Lokasi
    23 Oktober 2021

     

    Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor

     

    30 Oktober 2021

     

    Stadium Tertutup, Kuala Selangor

     

    6 November 2021

     

    Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu

     

    13 November 2021 Dewan Demesne, Pejabat Daerah Tanah Hulu Langat

     

    20 November 2021

     

    Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh

     

    27 November 2021

     

    Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor

     

     

    Manakala pada tahun 2022, Program Karnival Kerjaya akan dilaksanakan secara MEGA bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada pencari kerja di Negeri Selangor dengan sasaran sebanyak 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan;

    ii. Program Selangor Kerjaya

    Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI juga telah mengadakan satu inisiatif baharu iaitu Program Selangor Kerjaya yang menyediakan peluang pekerjaan eksklusif untuk warga Selangor. Program ini menawarkan peluang pekerjaan melalui pemadanan kerjaya yang berkesan dan pemohon perlu mendaftar dengan melayari laman web www.selangorkerjaya.com.my.

    Kemudahan laman web ini diberi secara percuma kepada majikan yang mahu mengiklankan jawatan kosong. Manakala calon pemohon akan melalui penilaian profil serta pemadanan kerjaya tertakluk kepada pekerjaan yang diiklankan dan pemilihan tersebut akan dilakukan oleh majikan yang berdaftar sebelum penempatan kerja sebenar berlaku. Setelah penempatan kerja berlaku, calon juga boleh mendapatkan latihan-latihan profesional dan akses pembelajaran atas talian; dan

     iii. Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE)

    Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) merupakan satu program kerjasama dengan syarikat-syarikat ‘e-hailing’ seperti GRAB, Food Panda atau DEGO yang bakal memberi peluang pekerjaan di dalam ‘gig ekonomi’ kepada hampir 3,000 anak muda di seluruh Selangor. Program ini juga dijangkakan dapat membantu syarikat-syarikat yang memerlukan tenaga kerja di kalangan warga tempatan.

Lampiran

Tiada Lampiran.