Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
265) PENGANGGUR
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu penganggur lepasan IPTA/IPTS semasa pandemik COVID-19?
Kerajaan Negerti Selangor telah menawarkan beberapa inisiatif bagi membantu penganggur lepasan IPTA / IPTS semasa pandemik COVID-19 seperti berikut:
Program Karnival Kerjaya – Jelajah Selangor Bekerja
Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan telah merancang untuk meneruskan Program Karnival Kerjaya – Jelajah Selangor Bekerja Tahun 2021 sebanyak enam (6) siri di beberapa lokasi di daerah Selangor seperti daerah Petaling, Klang, Sabak Bernam dan Hulu Selangor. Program Jelajah Selangor Bekerja atau dahulunya dikenali sebagai Program Selangor Job Fair akan dilaksanakan secara bersiri sebagai salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk mengurangkan kadar pengangguran di kalangan rakyat Selangor yang terkesan sepanjang pandemik Covid 19. Namun begitu, program ini hanya akan diteruskan semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Program Inisiatif Kemahiran Teknikal Dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS)
Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan inisiatif baharu melalui Program IKTISASS yang bertujuan untuk melahirkan golongan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), belia tercicir serta berkeperluan khas dan graduan dengan memberi latihan dalam bidang kemahiran teknikal dan professional seiring dengan keperluan industri semasa. Pada tahun 2021, di bawah Program IKTISASS telah melaksanakan Program SELatih Sure – Selatih Strategik Upskilling Reskilling dengan kerjasama Selangor Human Resources Development Centre (SHRDC) yang dijangka boleh membantu memulihkan peluang tenaga kerja di Selangor di dalam menghadapi kemelesetan peluang pekerjaan terutamanya semasa pandemik Covid 19.
Program Selangor Kerjaya
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) juga telah mengadakan satu inisiatif baharu iaitu Program Selangor Kerjaya yang bertujuan untuk membantu rakyat Selangor mencari pekerjaan. Program ini menawarkan peluang pekerjaan melalui pemadanan kerjaya yang berkesan melalui Potal Selangor Kerjaya melalui laman web dengan pautan https://www.selangortalentportal.com.my. Kemudahan Selangor Talent Portal adalah diberi secara percuma kepada majikan yang mahu mengiklankan jawatan kosong dan individu yang ingin mencari peluang pekerjaan, di mana mereka hanya perlu mendaftar dengan Selangor Talent Portal.
Calon akan melalui penilaian profil serta pemadanan kerjaya tertakluk kepada pekerjaan yang diiklankan dan pemilihan tersebut akan dilakukan oleh majikan yang berdaftar sebelum penempatan kerja sebenar berlaku. Setelah penempatan kerja berlaku, calon akan diberikan latihan – latihan profesional dan akses pembelajaran atas talian selama dua belas (12) bulan.
-
Berapakah statistik penganggur lepasan IPTA/IPTS yang masih belum bekerja?
Berdasarkan Statistik Siswazah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan siswazah di negeri Selangor pada 2020 adalah berjumlah 1,618.0 ribu orang yang mana meliputi 30.2 peratus daripada jumlah siswazah di Malaysia. Siswazah menganggur di Selangor adalah seramai 60.9 ribu orang dengan kadar 4.3 peratus (2019: 41.5 ribu orang; 3.0%). Namun begitu, tiada maklumat terperinci mengenai lepasan IPTA/IPTS di Selangor yang masih belum bekerja.