Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

117) PENGAMBILAN SPLASH OLEH AIR SELANGOR

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perkembangan terkini pengambilan SPLASH oleh Air Selangor?

    Perjanjian Utama telah menggariskan bahawa Air Selangor diberi tempoh setahun daripada tarikh Perjanjian Utama dimuktamadkan, iaitu sehingga Oktober 2016, untuk menyelesaikan pengambilalihan SPLASH.

    Pada ketika ini, rundingan masih sedang dijalankan untuk mencapai persetujuan ke atas kos pengambilalihan dan kaedah menyelesaikan isu-isu yang timbul daripada Perjanjian Konsesi SPLASH.

  2. Senaraikan semua tarikh mesyuarat yang telah berjalan dari bulan April hingga Jun 2016 memandangkan kelewatannya akan memberi kesan kepada pengurangan NRW di Selangor

    Rundingan semula di antara Air Selangor dan SPLASH bagi memuktamadkan pengambilalihan 100% ekuiti SPLASH adalah menjurus kepada persetujuan ke atas cadangan terma komersil bagi pengambilalihan tersebut. Di antara April hingga Jun 2016, kedua-dua pihak telah bermesyuarat sebanyak empat (4) kali iaitu pada 29 April, 5 Mei, 12 Mei dan 7 Jun.

     

    Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, isu Air Tidak Berhasil (NRW) adalah suatu isu yang tiada kaitan dengan penyelesaian pengambilalihan SPLASH bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri air di Selangor.

     

    NRW adalah berpunca daripada pelbagai faktor, terutamanya kebocoran paip air, meter air yang lama dan yang tidak mengikut spesifikasi telah menyebabkan bacaan penggunaan air yang tidak tepat, serta masalah berkaitan penyambungan bekalan air tidak sah atau kes-kes kecurian air. Pada tahun 2015 sahaja, terdapat 997 kes kecurian air telah dikesan dengan kerugian bernilai RM2.1 juta bagi 6.4 juta m³ air.

    Bagi mengurangkan NRW, Air Selangor telah mengambil tindakan secara holistik seperti berikut.

    • Penggantian Meter Air: Keutamaan pada meter air rosak dan lama yang memberi bacaan tidak tepat serta menentukur (calibrate) meter pukal.
    • Penyambungan Bekalan Air Tidak Sah: Mengimbangi proses memperoleh penyambungan dengan mengenal pasti serta mendenda pihak yang tidak mematuhi prosedur.
    • Teknologi: Menggunakan teknologi yang paling efektif untuk menyiapkan model sistem dan mengenal pasti kebocoran.
    • Pengurusan Tekanan Air: Mengurus sistem tekanan air supaya tidak membebankan rangkaian saliran paip air.

    Sehingga Disember 2015 secara purata NRW telah dikurangkan secara beransur-ansur kepada 32% atau 1.5 juta m³ sehari berbanding tahun 2014 sebanyak 33.6% dan tahun 2013 sebanyak 34.5%. Bagi 5 bulan pertama tahun 2016, iaitu dari Jan sehingga Mei 2016, purata NRW adalah pada kadar 31.7% dan akan dijangka terus berkurangan selari dengan inisiatif-inisiatif yang telah dan sedang diambil oleh Air Selangor.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.