Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016
209) PENGAGIHAN SISA PEPEJAL
Tahun: 2016
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Ng Tien Chee
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan usaha kerajaan terhadap pengagihan sisa pepejal.
Tidak dinafikan bahawa pengagihan sisa pepejal merupakan salah satu kaedah yang terbaik untuk meningkatkan kadar kitar semula dan membantu mengurangkan kadar penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan sedia ada yang semakin kritikal jangka
Pada masa ini, pihak Kerajaan Negeri sedang merangka satu dasar dan pelan tindakan lima (5) tahun pengasingan sisa pepejal. Pihak Kerajaan Negeri amat menggalakkan program-program yang berunsur kesedaran dan pendidikan dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan demi melestarikan kehidupan rakyat untuk kesejahteraan hubungan dengan alam sekitar selari dengan misi Negeri Selangor.
Sukacita saya di sini ingin berkongsi di antara inisiatif pengasingan sisa pepejal yang boleh dikatakan berjaya di peringkat PBT.
- MBSA
Program yang dinamakan ‘Projek Rintis Program Pengasingan Sampah dari Rumah’ yang telah dilancarkan pada 1 Oktober 2015 yang lalu merupakan langkah percubaan MBSA untuk mendidik dan mendedahkan penduduk Shah Alam tentang pengasingan sampah.
Sebagai permulaan, program ini dilaksanakan di lima lokasi utama iaitu di Seksyen 7 (Jalan Ferum, Jalan Pualam, Jalan Paladium, Jalan Vanadium, Jalan Iridium); Seksyen 32 (Taman Anugerah, Taman Sri Bayu, Taman Bukit Naga 2, Taman Bukit Naga 3); Seksyen U8 (Jalan Adang, Jalan Bidai); Seksyen U13 (Jalan Setia Indah 10) serta Seksyen U16 (Jalan Elektron).
Dan untuk memperhebatkan lagi pelaksanaan program itu, penduduk adalah dibekalkan satu set plastik biru untuk kertas, jingga untuk sampah jenis plastik manakala coklat untuk sampah jenis kaca dan aluminium. Plastik itu digantikan semula sekiranya ia telah digunakan oleh tuan rumah untuk pengasingan bahan kitar semula tersebut.
MBSA turut menyediakan tong sampah sebagai kemudahan kepada penduduk untuk menyimpan barangan kitar semula. Kutipan barangan kitar semula tersebut dilakukan pada hari Sabtu setiap minggu dan kontraktor yang membuat kutipan merekod setiap berat bahan kitar semula yang dikeluarkan oleh pemilik rumah.
MBSA juga telah melancarkan Pusat Pengkomposan Sisa Makan Pasar Moden Seksyen 6 sebagai salah satu projek perintis dalam usaha mengurangkan pembuangan sisa pepejal. Projek perintis itu membolehkan sisa makanan diurai menjadi baja organik dengan menggunakan mesin berteknologi hijau.
Mesin tersebut boleh menampung sisa sayur, ikan dan buah seberat 250 kilogram dan berkeupayaan memproses sisa pepejal tersebut selama 12 jam untuk menghasilkan baja kompos. Laporan rekod sampah yang diperoleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal & Pembersihan Awam mendapati sisa pepejal mencatatkan pengurangan kepada 58.5 tan berbanding Oktober sejumlah 63.3 tan dan dapat menjimatkan kos pelupusan sampah hampir RM2,000.00 sebulan.
- MPSJ
Di MPSJ pula, RM1 ditawarkan untuk sekilogram sisa makanan yang diserahkan ke kaunter yang disediakan di Bandar Bukit Puchong bermula Oktober 2015. Program Pengasingan Sisa Makanan itu merupakan usaha MPSJ bagi mengurangkan sisa makanan yang dihantar ke tapak pelupusan sampah.
Melalui program ini, sisa makanan yang diterima akan diproses dan ditukar kepada tenaga elektrik melalui proses “Biogas Anaerobic Digestion”. Sisa makanan juga akan diproses menjadi baja melalui proses ‘Vermicomposting’.
Program ini adalah dalam fasa kedua yang dilancarkan selepas fasa pertama di Taman Seri Serdang mendapat sambutan yang memberangsangkan. Sebanyak
129 tong pengasingan sisa makanan telah diedarkan secara percuma dan setakat dua hari program itu dijalankan, sebanyak 235 kg sisa makanan telah berjaya dikumpulkan.
-
Nyatakan tarikh kerajaan sasarkan untuk mewajibkan pelaksanaan pengagihan sisa pepejal di seluruh neger
Seperti yang kita semua sedia maklum, pihak Kerajaan Persekutuan telah pun mewajibkan pengasingan sisa pepejal di rumah pada 1 September 2015 yang lalu. Pelaksanaan ini adalah berdasarkan kepada Peraturan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672). Memandangkan Akta 672 ini adalah tidak terpakai di Negeri Selangor, maka tiada tarikh yang disasarkan oleh pihak Kerajaan Negeri untuk mewajibkan pelaksanaan pengagihan sisa pepejal di seluruh
Perlu dijelaskan juga di sini bahawa Kerajaan Negeri telah melaksanakan kajian pengasingan sisa isi rumah melalui Projek Perintis Kitar Semula bermula pada 28 September 2015 sehingga 31 Disember 2015 di empat (4) PBT berstatus Bandaraya, Perbandaran dan Daerah iaitu MBPJ, MPKj, MPAJ dan MDHS bagi melihat trend masyarakat dalam pengasingan sisa isi rumah secara real time.
Hasil daripada kajian tersebut, beberapa fokus utama yang dibangkitkan yang perlu dinilai oleh Kerajaan Negeri adalah:
- Tahap kesedaran dan kesanggupan rakyat negeri;
- Kesesuaian dan kecukupan infrastruktur untuk menjalankan pengasingan sisa pepejal; dan
- Penglibatan daripada stakeholders yang terlibat iaitu Kerajaan Negeri, PBT, kontraktor dan masyarakat
Kesemua persoalan ini perlu dinilai dahulu dan kempen-kempen dan program- program yang berunsurkan kesedaran dan pendidikan perlu diteruskan.