Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
70) PENERANGAN GARIS PANDUAN PUSAT PENJAGAAN SELEPAS BERSALIN SERTA PERNIAGAAN RUMAH DI BAWAH KERAJAAN NEGERI SELANGOR
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah terdapat sebarang garis panduan untuk Pusat Penjagaan Selepas Bersalin (PostNatal Care)? Sila terangkan sekiranya ya
Pada masa ini, belum ada garis panduan khusus yang dapat dimuktamadkan untuk Pusat Penjagaan Selepas Bersalin (PostNatal Care) bagi pihak bersesuaian untuk menjadi peneraju atau dengan izin custodian kepada Pusat Penjagaan Selepas Bersalin khususnya berkaitan, pendaftaran dan pemantauan perkhidmatan di Pusat Penjagaan Selepas Bersalin.
Berdasarkan tinjauan yang dijalankan, Pusat Penjagaan Selepas Bersalin ditubuhkan bagi menyediakan rawatan pemulihan dan penjagaan selepas bersalin untuk ibu dan bayi baru dilahirkan (tempoh berpantang). Terdapat dua jenis Pusat Penjagaan Selepas Bersalin iaitu yang berpremis dan confinement lady (mobile) yang memberikan perkhidmatan dari rumah ke rumah dan pengoperasian Pusat Penjagaan Selepas Bersalin pada masa ini adalah dengan menggunakan Lesen Operasi Perniagaan dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Di Negeri Selangor, Majlis Bandaraya Petaling Jaya difahamkan telah meluluskan Garis Panduan Perancangan dan Rekabentuk Pusat Jagaan Kesihatan Ibu Selepas Bersalin dan Bayi (Confinement Centre) di Petaling Jaya dan garis panduan ini akan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2022.
Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subang Jaya sedang menyediakan cadangan draf Garis Panduan Pusat Penjagaan dan Rawatan Ibu Selepas Bersalin di Negeri Selangor. Draf garis panduan tersebut dalam semakan akhir sebelum dikemukakan kepada Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri untuk ulasan. Pihak UPEN menjangkakan Garis Panduan Pusat Penjagaan dan Rawatan Ibu Selepas Bersalin di Negeri Selangor akan dibentangkan di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada awal tahun 2022 untuk kelulusan bagi digunapakai di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor.
-
Apakah garis panduan Perniagaan dari Rumah (Home Business) telah dimuktamadkan? Sila terangkan sekiranya ya
Kerajaan Negeri baru meluluskan Garis Panduan Pendaftaran dan Pelesenan Perniagaan Dalam Talian di Negeri Selangor untuk digunapakai di PBT Negeri Selangor berkuatkuasa 1 Januari 2022. Antara kandungan penting dalam garis panduan ini adalah:
- Perniagaan di rumah hendaklah dijalankan sepenuhnya dalam talian, berskala kecil, berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), tidak menyebabkan kacau ganggu dan premis masih kelihatan sebagai rumah kediaman serta bukan kelihatan seperti premis perniagaan.
- Perlu mendapatkan surat sokongan berjiran, kebenaran pemilik rumah sekiranya menyewa serta kebenaran Badan Pengurusan Bersama (jika berkaitan).
- Penggunaan ruang luas lantai perniagaan maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak 25% daripada luas binaan (bangunan utama) secara setempat atau satu ruang yang diluluskan oleh pihak PBT.
Dengan adanya garis panduan ini, PBT Negeri Selangor diharap boleh memastikan aktiviti perniagaan dalam talian yang dijalankan dapat dikawal serta mematuhi syarat yang telah ditetapkan.