Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
83) PENDIDIKAN VOKASIONAL
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif untuk mengalakkan anak Selangor untuk memilih TVET (pendidikan, dan latihan teknikal dan vokasional)?
Pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor bagi menarik minat graduan lepasan SPM untuk meneruskan pengajian mereka dalam bidang kemahiran (TVET). Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah:
- Menawarkan program-program di bawah Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) yang menekankan ekosistem latihan kemahiran yang berorentasikan industri iaitu Pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Program IKTISASS ini boleh menjadi asas persediaan dan melengkapkan integrasi kemahiran bagi lepasan SPM dalam meningkatkan kemahiran dengan kadar kebolehpasaran yang tinggi mengikut bidang kemahiran tersebut. Syarat kemasukan bagi program ini juga dipermudahkan bagi menggalakkan lepasan SPM mengikuti pengajian dalam bidang yang disukai tanpa memerlukan syarat kelulusan yang tinggi;
- Terdapat juga Program Kemahiran Profesional di bawah IKTISASS yang ditawarkan kepada mereka yang layak. Program ini dilaksanakan dengan kolaborasi bersama beberapa syarikat dan institusi antarabangsa antaranya Siemens.Ins, Apple.Inc, FESTO, Technical University of Munich (TUM) dan sebagainya. Program ini menjurus kepada permindahan teknologi dengan memberi fokus kepada industri teknologi digital dan pembuatan termaju melalui pembangunan inkubator industri bagi memacu transformasi Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan pendidikan industri. Pelaksanaan program ini bertujuan menggalakkan anak muda untuk mempelopori bidang baru di peringkat pengajian tinggi dan membantu penyediaan tenaga kerja dalam bidang yang berkaitan;
- Bagi menarik minat anak-anak muda menyertai bidang TVET ini, Kerajaan Negeri juga telah menetapkan syarat yang sangat minima bagi kursus-kursus TVET di peringkat SKM iaitu 3M (Membaca, Menulis dan Mengira);
- Menyediakan pembiayaan di bawah peruntukan pembangunan (P01-Program IKTISASS) bagi membantu mengurangkan beban kewangan pelajar daripada kategori B40 dan M40 melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran TVET ini; dan
- Tahun 2024 mensasarkan satu kerjasama baharu bersama Siemens iaitu Pembangunan Aplikasi Mendix di Netherlands yang memberi penekanan kepada pembinaan aplikasi tanpa jujukan pengkodan kompleks bagi pengurusan streamline, kawalan visual dan pengesanan kualiti. Selain itu, satu kerjasama dengan KNX Brussels, Belgium juga akan diteroka memandangkan KNX merupakan pelopor teknologi bagi aplikasi Building Automation.
-
Apakah langkah-langkah yang diambil untuk meresap graduan TVET ke industri di Negeri Selangor?
Kerajaan negeri sangat komited dalam merancang dan melaksanakan program untuk menambah serta meningkatkan kebolehpasaran anak muda dalam bidang kemahiran di Negeri Selangor. Oleh yang demikian, melalui Program Selangor Mega Job Fair yang diadakan setiap tahun, Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan kepada syarikat-syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan di dalam bidang kemahiran selain bidang-bidang lain termasuklah bidang perhotelan, makanan dan minuman (F&B), automotif dan sebagainya. Melalui program ini, setiap pemain industri terutama dari bidang kemahiran akan membuka banyak peluang pekerjaan dan menyenaraikan jumlah kekosongan di syarikat masing-masing.
Bagi memastikan institusi pendidikan di bawah Kerajaan Negeri Selangor menawarkan program pendidikan TVET yang berkualiti, pemantauan akan dilaksanakan melibatkan jumlah pelajar yang berdaftar dan tamat belajar setiap tahun selain mewujudkan satu pengkalan data berkaitan hala tuju pelajar selepas tamat belajar. Ini bagi memastikan setiap kursus yang ditawarkan memberi manfaat dan relevan kepada keperluan industri. Kerajaan Negeri juga sentiasa berusaha untuk menambah baik inisiatif sedia ada dengan memantapkan jaringan kerjasama antara penyedia latihan dan pihak industri seperti memastikan peluang penempatan kerjaya graduan selepas mereka tamat latihan di institusi berkenaan.