Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
362) PENDIDIKAN TVET
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah jenis-jenis pendidikan TVET yang mendapat sambutan awam di institusi pendidikan milik Negeri Selangor pada tahun 2023?
Lima (5) bidang pengajian yang mendapat sambutan di STDC yang merupakan institusi pendidikan di bawah Kerajaan Negeri pada tahun 2023 adalah:
- Kursus automotif dan pembaikan motosikal;
- Kursus elektrikal dan elektronik;
- Kursus kulinari dan pastri;
- Kursus pembaikan penyaman udara; dan
- Kursus sistem komputer.
-
Bagaimana bentuk kolaborasi institusi berkenaan dengan pihak industri?
Kerjasama dan jaringan industri oleh STDC dalam pelaksanaan modul pengajian tidak terhad di peringkat dalam negara iaitu kerjasama dengan Agensi Kerajaan, institusi pengajian awam dan swasta tetapi juga di peringkat antarabangsa. Antara bentuk kerjasama yang dilaksanakan bersama institusi serta pemain industri tempatan dan antarabangsa adalah:
- Program TVET di STDC Kampus Kuala Selangor dilaksanakan dengan kerjasama syarikat-syarikat seperti Perodua, Volkswagen, Wrightbus Malaysia dan Aerodyne Group bagi program automotif, Daikin bagi program pemasangan dan penyelenggaraan penghawa dingin serta Yamaha bagi penyelenggaraan motorsikal. Kolaborasi dilaksanakan dalam penyediaan alatan bantuan mengajar (komponen dan peralatan), peluang penempatan latihan industri (On-the-Job-Training), pembangunan modul dan peluang penempatan kerjaya selepas tamat pengajian.
- Pembangunan modul program bersama Technical University of Munich (TUM) dan universiti awam dan swasta di Malaysia Technical Universiti Malaysia (MTUM) (dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis) Kerjasama ini dijalinkan antaranya bagi pembangunan modul TVET, menambah nilai silibus pengajaran dan pembelajaran kursus yang ditawarkan selain memperkenalkan program baru yang relevan dengan keperluan industri terutama pada masa hadapan.
- Program kerjasama penempatan pelajar bersama pemain industri TVET di Negeri Selangor turut dilaksanakan bersama GE Engineering Services Sdn. Bhd. bagi program aeroangkasa, The Welding Institute (TWI Malaysia) bagi program kimpalan dan Carsome Institute bagi program automotif.
-
Apakah hasil daripada kolaborasi tersebut?
Kolaborasi yang dilaksanakan telah memberi manfaat kepada pelajar, tenaga pengajar dan STDC sebagai sebuah institusi pendidikan dalam aspek:
- Meningkatkan peluang pekerjaan bagi pelatih yang menamatkan pengajian dan memenuhi syarat pengambilan di syarikat- syarikat yang berkolaborasi;
- Penambahbaikan dan perkongsian modul baharu bagi kursus-kursus yang relevan mengikut keperluan industri telah memberi nilai tambah kepada tahap kemahiran graduan dan seterusnya meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan dalam bidang pekerjaan; dan
- Perkongsian strategik tenaga pakar professional, liputan tawaran modul pengajian kepada pelajar dan input terhadap keperluan tenaga kerja dalam industri terkini.