Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
47) PENDIDIKAN TINGGI
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Senaraikan bantuan pendidikan yang terdapat dalam Kerajaan Negeri Selangor untuk tahun 2024.
Pelbagai usaha dan inisiatif telah dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi menarik minat dan menggalakkan lepasan SPM untuk meneruskan pengajian mereka terutama dalam bidang teknikal dan vokasional (TVET) di institusi Pendidikan di bawah Kerajaan Negeri Selangor. Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah seperti berikut:
- Pemerkasaan program TVET
Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) yang telah dilancarkan secara dasarnya pada tahun 2018 oleh Kerajaan Negeri Selangor. Pembangunan Pendidikan TVET di Selangor sentiasa diberi perhatian memandangkan keperluan yang tinggi bagi melahirkan pekerja mahir dan berpotensi dalam memenuhi keperluan industri dan ekonomi negara .
Pelbagai program ditawarkan melalui pelbagai institusi pengajian antaranya Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) Kampus Shah Alam dan Kuala Selangor melalui program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan persijilan profesional, UIS dan beberapa institusi swasta antaranya GE Engineering, TWI Services Sdn. Bhd, Carsome, dan sebagainya. Program IKTISASS memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi di Negeri Selangor sebagai penyediaan dan melengkapkan integrasi kemahiran bagi lepasan sekolah dan golongan muda dalam peningkatan kemahiran teknikal dan keusahawanan bagi melengkapi keperluan industri.
- Bantuan Yuran Asas Universiti (BAYU)
Bantuan Yuran Asas Universiti (BAYU) telah mula diperkenal pada 2021 yang merupakan salah satu Inisiatif Peduli Rakyat Kerajaan Negeri Selangor yang merupakan bantuan yuran asas sebanyak RM500 yang diberikan kepada setiap pelajar yang layak pada setiap semester bagi setiap tahun pengajian. Bantuan ini diperuntukkan khas kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi milik Kerajaan Negeri Selangor iaitu Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Selangor (UIS).
Yuran asas tersebut merangkumi Yuran Perpustakaan, Yuran Makmal, Yuran Teknologi Maklumat, Yuran Kesihatan dan Yuran Aktiviti Pelajar. Bantuan Yuran Asas ini dijangka dapat meringankan beban kewangan kepada pelajar terutama bagi mereka dari kalangan B40 dan M40.
- Program Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negeri (PBUDN)
Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) bagi pelaksanaan lima (5) program di bawah Peduli Siswa dan dua (2) Program Khas dalam bentuk pinjaman boleh ubah dan biasiswa. Program-program ini memberi manfaat kepada pelajar bermula daripada peringkat sekolah menengah sehingga ke peringkat pascasiswazah, di dalam dan luar negara.
Pelbagai inisiatif dan pembaharuan telah dilaksanakan oleh pihak TKWBNS. Antara program baharu yang telah dilaksanakan pada tahun 2023 ialah Pinjaman Boleh Ubah Luar Negara dan Biasiswa YAB Dato’ Menteri Besar Selangor kepada anak Selangor yang melanjutkan pengajian di Universiti bawah Top 100 QS World Ranking mengikut bidang. Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan program ini untuk memberi peluang kepada anak-anak Selangor melanjutkan pengajian ke Universiti terkemuka dunia.
- Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT)
Kerajaan Negeri Selangor menyediakan peruntukan kewangan berjumlah RM3 juta setiap tahun bagi melaksanakan insentif Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) Selangor yang memberi bantuan RM1,000 khusus kepada anak-anak Selangor yang melanjutkan pendidikan ke Institut Pengajian Tinggi Awam dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang diiktiraf bermula dari peringkat Sijil Kemahiran Tahap 4, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda. Antara syarat utama kelayakan ialah keluarga berpendapatan RM5,000 ke bawah.
- Program Baucar Buku Mahasiswa #KitaSelangor
Kerajaan Negeri telah memperuntukkan antara RM200,000.00 sehingga RM400,000.00 setahun insentif dalam bentuk pemberian Baucar Buku bagi 1,000-2,000 orang mahasiswa yang layak daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan asnaf bagi menampung keperluan pengajian dan menyuntik semangat mereka untuk terus belajar dan berjaya dalam bidang pengajian masing-masing.