Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

402) PENDIDIKAN SIVIK SELEPAS HAD UMUR MENGUNDI DITURUNKAN KE 18 TAHUN

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran remaja tentang proses demokrasi di Malaysia bagi membantu mereka siap sedia untuk menjadi pengundi yang bertanggungjawab?

    Di peringkat sekolah menengah, murid-murid telah diberikan kesedaran tentang proses demokrasi dan sistem pilihanraya di Malaysia khususnya dalam mata pelajaran Sejarah.

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, mata pelajaran Sejarah merupakan mata pelajaran teras yang wajib diambil oleh semua murid serta merupakan mata pelajaran wajib lulus bagi syarat pensijilan di peringkat SPM. Melalui mata pelajaran ini, dapat meningkatkan kesedaran murid-murid tentang proses demokrasi di Malaysia dengan memperkenalkan mereka kepada perkembangan politik dan sistem pemerintahan negara dari masa lampau hingga kini. Dengan mempelajari sejarah politik negara, murid-murid akan dapat memahami nilai-nilai demokrasi yang menjadi asas penting dalam sistem pemerintahan Malaysia.

    Selain itu, melalui topik Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen di dalam mata pelajaran Sejarah Tingkatan 5, murid-murid juga dapat belajar tentang hak dan tanggungjawab sebagai warganegara, termasuk hak untuk memilih dalam pilihan raya. Mereka akan dapat memahami pentingnya penglibatan dalam proses demokrasi, termasuk memahami peranan mereka sebagai pengundi yang bertanggungjawab untuk membuat keputusan yang terbaik bagi negara.

    Murid-murid juga akan didedahkan tentang proses dan perkembangan pilihan raya di mata pelajaran Sejarah Tingkatan 4. Di topik ini, murid juga didedahkan dengan Elemen Kewarganegaraan dan Nilai Sivik (EKNS) bagi tajuk ini iaitu kepentingan pilihanraya. Dengan pengetahuan dan pemahaman yang diperoleh dari mata pelajaran Sejarah, murid-murid akan lebih siap sedia untuk menjadi pengundi yang bertanggungjawab. Mereka akan dapat membuat keputusan yang berdasarkan fakta dan pemahaman yang betul tentang isu-isu politik serta kesan yang boleh ditimbulkan dari keputusan mereka. Mereka juga akan lebih peka terhadap pentingnya menjaga prinsip keadilan, ekuiti, dan kesaksamaan dalam sistem demokrasi.

    Dengan dua topik yang telah dipelajari ini, secara tidak langsung telah memberi kesedaran kepada remaja tentang proses demokrasi di Malaysia bagi membantu mereka siap sedia untuk menjadi pengundi yang bertanggungjawab selepas had mengundi diturunkan ke 18 tahun. Mereka akan menjadi generasi yang lebih arif dan terdidik sebagai pengundi yang bertanggungjawab. Mereka akan dapat menyumbang secara positif dalam pembentukan masa depan negara dan memastikan kelestarian demokrasi sebagai asas pemerintahan negara.

    Selain itu, JPN Selangor turut memperkasakan pelaksanaan Pendidikan Sivik dalam 5 mata pelajaran utama (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral) bermula seawal prasekolah hinggalah tingkatan 5. Penerapan pendidikan sivik dalam 5 mata pelajaran ini adalah selaras dengan surat siaran Bil.7 tahun 2016 yang telah dikeluarkan oleh pihak KPM. Penerapan Pendidikan Sivik di dalam kelas ini menekankan 4 nilai utama (kasih sayang, hormat menghormati, bertanggungjawab dan kegembiraan) yang perlu diterapkan dalam pelbagai aktiviti sewaktu PdP, perhimpunan bulanan, aktiviti kokurikulum dan program sekolah. Antara aktiviti yang sering dilaksanakan di sekolah adalah aktiviti gotong royong dan sambutan bulan kemerdekaan bagi memupuk nilai bertanggungjawab dalam kalangan murid di sekolah. Program-program ini turut melibatkan komuniti setempat bagi mewujudkan nilai hormat menghormati antara warga sekolah dan masyarakat setempat. Selain itu sekolah turut mengukuhkan penerapan pendidikan sivik ini melalui perhimpunan pagi dengan melaksanakan pelbagai aktiviti antaranya Pertandingan Deklamasi Sajak, melukis poster, menyanyikan lagu patriotik dan mengenali pemimpin setempat . Pendidikan Sivik turut dikukuhkan dalam aktiviti kokurikulum semasa perjumpaan persatuan, badan beruniform dan juga permainan

Lampiran

Tiada Lampiran.