Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

41) PENDIDIKAN PRA-SEKOLAH

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha kerajaan negeri dalam memastikan anak-anak Selangor mendapat pendidikan awal sekolah yang berkualiti? Berapakah yang diperuntukkan untuk pendidikan pra-sekolah?

    Usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan anak- anak Negeri Selangor mendapat pendidikan awal sekolah yang berkualiti antaranya ialah :

     

    • menyediakan platform yang dapat menyatukan para pengusaha tadika yang berbeza latar belakang melalui Majlis Permuafkatan Tadika Selangor (MPTS);

     

    • melaksanakan Program Skim Tunas Selangor, iaitu program bantuan yuran sebanyak RM50 kepada keluarga yang kurang berkemampuan, ini adalah di antara usaha untuk memastikan semua rakyat Selangor dapat mendedahkan anak-anak mereka kepada Pendidikan awal kanak-kanak;

     

    • melaksanakan kursus atau program-program latihan kepada para guru yang terlibat dengan pra-sekolah, dengan memberi penekanan kepada modul Pembangunan Modal Insan Selangor; dan

     

    • menyediakan ruang dan program untuk kanak-kanak menunjukkan bakat dan potensi mereka melalui pelbagai program contohnya seperti Hari Tadika Negeri

     

    Jumlah peruntukan yang di peruntukkan oleh Kerajaan Negeri untuk pra sekolah adalah sebanyak RM3 Juta untuk Program Skim Tunas dan sebanyak RM300,000 untuk program pembangunan pra sekolah dan pendidikan awal kanak-kanak.

     

  2. Nyatakan program pendidikan pra-sekolah yang dikendalikan oleh kerajaan negeri dan pusat di Selangor

    Program Pendidikan Pra Sekolah yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri antaranya ialah :

    • Program Skim Tunas Selangor
    • Program Hari Tadika Selangor
    • Program pembangunan dan latihan guru-guru pra sekolah di Negeri Selangor.

    Program Pra Sekolah yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan antaranya ialah :

    PRASEKOLAH KPM

    • Bantuan makan murid (RM1.80 sehari bagi Semenanjung / RM2.05 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan. Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 8 Tahun 2012, Garis Panduan Pengurusan Kewangan Peruntukan Bantuan Persekolahan Kepada Sekolah Berdasarkan Per Kapita Murid)
    • Peruntukan PCG Murid (RM100.00/ murid setahun)
    • Bantuan Kokurikulum (RM25.00/ murid setahun)
    • Bayaran Takaful (RM1.50/ murid setahun)

    TABIKA KEMAS

    Maklumat tidak diperoleh namun mengikut sumber bantuan diterima adalah seperti bantuan kepada prasekolah Kementerian Pendidikan Malaysia.

    TABIKA PERPADUAN

    Maklumat tidak diperoleh namun mengikut sumber bantuan diterima adalah seperti bantuan kepada prasekolah Kementerian Pendidikan Malaysia.

    PERMATA

    Pemohon yang menghantar anak ke PERMATA Negara tidak akan dikenakan sebarang yuran kerana ianya merupakan program percuma yang membantu keluarga berpendapatan rendah khususnya.

    BANTUAN PENDIDIKAN PRASEKOLAH UNTUK TADIKA SWASTA

    1. Bantuan yuran kepada murid tadika dan murid keperluan khas* dari keluarga berpendapatan rendah^. – RM150 atau mengikut kadar
    2. Pengusaha pendidikan prasekolah juga boleh memohon untuk geran sekali sahaja bernilai sehingga RM20,000*. – Tadika Baru
    3. Kursus Intensif KSPK Kepada Guru-guru tadika berdaftar

     

    (*Tawaran ini terbuka kepada semua pengusaha taska dan prasekolah swasta atau tidak berasaskan keuntungan di seluruh Malaysia.)

    (^Pendapatan per kapita isi rumah tidak melebihi RM700 bagi kanak-kanak taska dan RM800 bagi kanak-kanak keperluan khas)

    Semua pengusaha prasekolah berlesen dan tidak berlesen serta NGO digalakkan untuk mendaftar dengan Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan (SMPK) agar layak dipertimbangkan untuk mengakses insentif tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.