Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
159) PENDIDIKAN POLITIK MAHASISWA SELANGOR
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah strategi yang diambil bagi memberikan pendidikan politik kepada mahasiswa di UNISEL dan KUIS?
Secara keseluruhan, UNISEL dan UIS menawarkan pelbagai kursus berpaksikan pendidikan politik menerusi:-
- Penawaran subjek Mata Pelajaran Umum (MPU) Khas Pengajian Selangor.
- Kursus-kursus jangka sains politik pendek menerusi penubuhan Institut Kajian Pilihanraya & Pemajuan Demokrasi (IESAD) UNISEL.
- Penawaran Sarjana Sains Politik.
- Kursus khas modul sains politik dengan kerjasama Institut Darul Ehsan.
- Wacana berkala Politik Anak Muda – GAM.
- Townhall Pimpinan Pelajar & Parlimen Mahasiswa.
- Kerjasama khas bersama i-Lead Kementerian Belia dan Sukan.
- Kajian Lapangan Komuniti melibatkan pelajar.
- Program Pemetaan komuniti di bawah Pusat Jaringan Komuniti UNISEL.
- Bedah Buku Demokrasi.
-
Adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengaktifkan semula program Dewan Muda Selangor?
Program Dewan Muda Selangor yang dimaksudkan oleh Yang Berhormat Meru dikenali sebagai program ADUN Muda Selangor. Program ADUN Muda Selangor mula dilaksanakan bermula tahun 2016 oleh Y.B. Speaker pada masa itu, YB Puan Hannah Yeoh Tseow Suan.
Selepas itu, Y.B. Speaker bagi penggal seterusnya, Y.B. Tuan Ng Suee Lim telah meneruskan program ADUN Muda Selangor pada tahun 2021 dengan menganjurkannya secara virtual bersama dengan 56 ADN Muda yang mewakili 56 DUN di seluruh Selangor. Memandangkan program ADUN Muda Selangor merupakan program yang telah dirintis oleh Dewan Negeri Selangor untuk setiap penggal bermula penggal Ketiga Belas, maka ia tetap akan diteruskan sebagaimana kelaziman yang telah dilaksanakan Speaker-Speaker yang terdahulu.
Untuk makluman Yang Berhormat, rintisan idea Dewan Negeri Selangor ini juga turut dicetus oleh Komuniti Ahli Parlimen Belia Negeri Selangor, di mana idea ini antara lain membuka ruang pendedahan kepada generasi pimpinan dan aktivis muda untuk mempelajari aspek pendidikan politik melalui pendedahan perihal gerak kerja Dewan Negeri Selangor melalui fungsi dan peranan Ahli Dewan Negeri Selangor.
Ke arah merealisasikan program ini, beberapa aspek perlu diteliti supaya kesalinghubungan melibatkan institusi kerajaan negeri dengan aktivis Parlimen Belia, entiti serta organissi belia Negeri Selangor serta penggerak-penggerak belia negeri Selangor dapat bersinergi serta memainkan peranan yang aktif ke arah memastikan Dewan Muda Negeri Selangor ini tidak bersifat kosmetik semata mata. Penjajaran pelaksanaan dengan Dasar Belia Selangor Tahun 2020 perlu diambilkira secara holistik.
Melalui endorsmen Persatuan Mahasiswa Selangor (Permas) Nasional baru-baru ini, idea ini berpotensi dikembangkan semula dengan lebih segar melalui penumpuan kepada pimpinan mahasiswa Selangor yang berpotensi supaya mereka boleh dilibatkan secara aktif dengan pendedahan bersesuaian, supaya mereka boleh disediakan sebagai baris pimpinan masyarakat masa hadapan dengan lebih awal. Selaras dengan had umur kepimpinan belia pada usia 30 tahun yang akan dikuatkuasakan sebermula tahun 2026, Kerajaan Negeri terbuka untuk meneliti semula pelaksanaan program ini tertakluk kepada beberapa aspek penyesuaian dan penjajaran yang bertepatan dengan keperluan semasa. Sehubungan itu, program ADN Muda Selangor telah dimasukkan ke dalam perancangan Dewan Negeri Selangor untuk dilaksanakan pada tahun 2024.