Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

10) PENDIDIKAN ANAK-ANAK KAFA

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Abbas Salimmi Bin Che Adzmi @ Azmi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kerajaan memantau tahap pendidikan anak-anak di KAFA?

    Pemantauan terhadap tahap pendidikan agama Islam anak-anak di peringkat rendah termasuk murid di sekolah KAFA dibuat melalui aspek keperluan profesionalisme guru-guru, penguasaan murid terhadap ilmu asas fardhu ain termasuk pembacaan ayat-ayat Al-Quran, penguasaan murid terhadap mata pelajaran lain serta sahsiah dan kemandirian anak-anak melalui aktiviti kokurikulum.

    Pemantauan ini dilaksana melalui mendapatkan pengiktirafan daripada International Standard Organization (ISO) bagi pensijilan Quality Management System (QMS), Quality Management System-Shariah Based (QMS-i), Anti Bribery Management System (ANMS) dan Education Organizational Management System (EOMS) di 11 buah Sekolah Rendah Agama Integrasi dan 5 Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS). Selain itu JAIS juga melaksana kaedah Penarafan Sekolah Berkelas Tinggi Sekolah JAIS (PRESTIJ) iaitu standard bagi menaik taraf pengurusan pentadbiran di semua sekolah JAIS (termasuk sekolah KAFA) berdasarkan kualiti amalan yang dilaksanakan merujuk kepada eviden pelaksanaan di sekolah-sekolah di Negeri Selangor. PRESTIJ diwujudkan berdasarkan Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama Islam (Enakmen No. 2 Tahun 1988) memperuntukkan tanggungjawab kepada nazir Sekolah Islam yang dilantik untuk menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran yang memuaskan dilaksanakan dan berterusan di institusi pendidikan negeri Selangor.

    Hasil daripada pemantauan tersebut Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) dan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) telah memperolehi pensijilan ISO. Antara lain hasil pemantauan melalui PRESTIJ pencapaian 100% Penilaian Asas Fardu Ain (PAFA) di semua sekolah, pencapaian 100% Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), tahap pencapaian pencapaian kecemerlangan dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) mengikut Gred Purata Sekolah (GPS) 2.58 pada tahun 2022, menurun kepada 2.68 pada tahun 2023 kemudian melonjak kepada 2.53 pada tahun 2024. Tahap pencapaian kecemerlangan dalam UPKK mengikut GPS 1.49 pada tahun 2022 menurun kepada 1.74 pada tahun 2023 disebabkan perubahan format soalan daripada JAKIM.

  2. Apa program Kerajaan Negeri bagi memastikan prestasi pendidikan anak-anak KAFA?

    Prestasi pendidikan anak-anak KAFA sentiasa menjadi perhatian oleh Kerajaan Negeri melalui program pengagihan peruntukan elaun guru KAFA yang berterusan dan meningkat, penyelarasan bantuan guru KAFA (Skim Bantuan Guru KAFA JAKIM), Skim Pinjaman Buku Teks dan penyelarasan ujian, peperiksaan dan pentaksiran murid. JAIS juga sentiasa memastikan pentadbiran sekolah berjalan mengikut ketetapan Enakmen yang berkuatkuasa. Selain itu JAIS juga turut melaksanakan program Naziran dan membuat teguran rasmi terhadap sebarang temuan dan dapatan.

  3. Kes kematian murid KAFA Manbiul Ulum Seri Serdang. Apa bantuan kerajaan khususnya pihak Jabatan Agama Islam Selangor kepada keluarga mangsa?

    Keluarga mangsa telah menerima sumbangan bantuan daripada Tabung Infak Jariah Umat Islam Negeri Selangor (TIJARI) sebanyak RM1,000.00.