Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

257) PENDAPATAN PENDUDUK KAMPUNG

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Mu'izzuddeen Bin Mahyuddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor?

    Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat dan Dewan yang mulia ini, secara umumnya, kemiskinan boleh diukur dengan pelbagai kaedah termasuklah kaedah pengukuran kemiskinan mutlak, kemiskinan relatif dan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI). Antara yang sering digunakan oleh kebanyakan negara adalah pengukuran kemiskinan mutlak.

    Di Malaysia, kaedah pengukuran kemiskinan mutlak dengan menggunakan pendekatan Kos Keperluan Asas akan menetapkan satu paras keperluan minimum yang dikenali sebagai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). Komponen PGK ini terdiri daripada dua kategori iaitu PGK makanan dan PGK bukan makanan. Nilai PGK makanan diperoleh melalui penetapan keperluan kalori bagi setiap ahli di dalam sesebuah isi rumah dengan mengambil kira faktor jantina, kumpulan umur dan lokasi tempat kediaman. Nilai PGK bukan makanan pula ditentukan berdasarkan kepada corak perbelanjaan dan keperluan asas isi rumah berpendapatan rendah yang diperoleh melalui Survei Perbelanjaan Isi Rumah (HES) yang mengambil kira ciri-ciri demografi, komposisi isi rumah dan lokasi tempat kediaman.

     

  2. Berapakah purata pendapatan isi rumah penduduk di kampung-kampung?

    Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menjalankan Survei bagi pendapatan isi rumah mengikut etnik ketua isi rumah, strata dan negeri, Malaysia dan mendapati bahawa purata pendapatan isi rumah di Negeri Selangor adalah RM12,233.00 bagi tahun 2022.

    Pihak DOSM tidak mempunyai data berkenaan pendapatan isi rumah di Negeri Selangor mengikut strata bandar dan luar bandar/kampung. Walau bagaimanapun perbezaan pendapatan isi rumah mengikut strata bandar dan luar bandar bagi seluruh Malaysia masing-masing adalah RM9,428.00 dan RM5,147.00 dan ini boleh dijadikan kayu pengukur dalam penentuan pendapatan isi rumah penduduk kampung.

Lampiran

Tiada Lampiran.