Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

74) PENDAPATAN KERAJAAN

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah pendapatan Kerajaan seperti kutipan cukai di Majlis dan Pejabat Tanah dipengaruhi oleh PKP?

    Tidak dinafikan, Pandemik Covid19 akan memberi kesan kepada Kedudukan dan Prestasi Kewangan Kerajaan Negeri pada tahun ini. Namun begitu, amalan perbelanjaan berhemah Kerajaan Negeri serta usaha mendapatkan hasil yang berterusan berupaya menangani kesan ini tanpa mengabaikan peranan Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat Selangor yang menghadapi kesukaran dalam menghadapi situasi yang mencabar ini.

    Status pendapatan Kerajaan Negeri sehingga 30 Jun 2020 secara keseluruhannya adalah sebanyak RM1,527.61 juta atau 69.44 peratus daripada anggaran hasil RM2.2 bilion. Daripada hasil keseluruhan ini, kutipan Hasil Cukai adalah sebanyak RM416.67 juta atau 60.08 peratus. Kutipan Hasil Bukan Cukai adalah sebanyak RM897.35 juta atau 70.71 peratus. Manakala, Terimaan Bukan Hasil adalah sebanyak RM213.58 juta atau 90.01 peratus.

    Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan jangkitan COV-19 juga telah memberi impak kepada kutipan hasil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor berikutan keadaan ekonomi yang kurang stabil akibat pendemik ini.

  2. Berbanding dengan prestasi tahun lepas, berapa bezanya pendapatan Kerajaan?

    Pendapatan Kerajaan Negeri melalui Hasil Cukai yang merangkumi cukai tanah, cukai parit taliair, cukai hutan dan cukai hiburan pada 30 Jun 2020 berbanding 30 Jun 2019 adalah menurun sebanyak RM145.32 juta atau 25.86%. Walau bagaimanapun, Hasil Kerajaan Negeri keseluruhannya pada 30 Jun 2020 berbanding 30 Jun 2019 adalah meningkat sebanyak RM103.29 juta atau 7.25%.

  3. Apakah cara atau strategi yang akan diambil demi meningkatkan pendapatan Kerajaan Selangor?

    Cara atau strategi yang diambil bagi meningkatkan pendapatan Kerajaan Selangor adalah seperti berikut:

    1. Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor serta kesemua Pejabat Daerah/ Tanah berusaha untuk meningkatkan hasil dengan melaksanakan lebih banyak program kutipan turun padang di kawasan-kawasan yang dikenalpasti iaitu kawasan perumahan dan tempat-tempat tumpuan awam seperti pasar pagi, pasar malam dan juga kompleks membeli belah bagi memudahkan orang ramai untuk membayar cukai tanpa perlu hadir ke mana-mana Pejabat Daerah dan Tanah. Selain itu, usaha meningkatkan kesedaran mengenai pembayaran cukai tanah juga dilaksanakan melalui hebahan flyers dan surat khabar.
    2. Mengenakan Permit Khas sebagai kebenaran penggunaan sementara tanah pertanian yang digunakan selain tujuan pertanian (Perniagaan/ Industri Ringan) oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor;
    3. Mengenakan caj fi bagi pengeluaran kayu getah dan palma (kelapa/kelapa sawit) di dalam tanah diberimilik dan tanah Kerajaan sebagaimana yang termaktub di dalam Jadual Kedua Kaedah-Kaedah Hutan Selangor (Pindaan 2017) dan selaras dengan keputusan Majlis Perhutanan Negara Ke-71;
    4. Cadangan pemulihan dan penguatkuasaan melalui pengenaan permit penggunaan di kawasan pencerobohan dan penerokaan secara haram di dalam sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Selatan oleh Jabatan Perhutanan Negeri;
    5. Mengenakan permit Access Benefit Sharing (ABS) iaitu permit bagi sumber biodiversity yang dikomersialkan bagi tujuan penyelidikan, perubatan dan kosmetik selaras dengan Akta Akses Kepada Sumber Biologi Dan Perkongsian Faedah 2017 (Akta 795). Pelaksanaan Access Benefit Sharing bertujuan untuk memastikan sumber hasil biodiversity yang dikomersialkan dapat dipantau dan dikongsikan. Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Perhutanan Negeri akan memproses permohonan permit dan mengenakan bayaran bagi setiap permohonan yang diluluskan;
    6. Merangka pelaksanaan Kaedah-Kaedah Perikanan Darat (akuakultur) oleh Jabatan Perikanan Negeri Selangor. Apabila ia dikuatkuasakan kelak, semua aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan perikanan darat (akuakultur) akan dikenakan caj-caj tertentu di mana pada ketika ini tiada sebarang ikatan untuk pengenaan sebarang caj. Selain daripada itu juga, tindakan penguatkuasaan boleh dilaksanakan dengan lebih baik; dan
    7. Melaksanakan semakan semula kadar caj perkhidmatan veterinar ke atas Kaedah-Kaedah Pusat Veterinar (Pindaan) 2007 oleh Jabatan Veterinar Negeri Selangor kerana terdapat pertambahan perkhidmatan dan kadar bayaran yang dikenakan ketika ini adalah berdasarkan kadar lama yang melebihi 10 tahun.

Lampiran

Tiada Lampiran.