Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

212) PENDAFTARAN PUSAT TAHFIZ DI SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: hal ehwal islam

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini pendaftaran Pusat-Pusat Tahfiz swasta dan persendirian di Selangor?

    Sekolah tahfiz yang berdaftar di Negeri Selangor adalah sebanyak 310 buah. 4 daripadanya merupakan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) dengan jumlah pelajar seramai 996 orang. Manakala 306 buah lagi adalah maahad tahfiz persendirian dengan jumlah pelajar seramai 17,616

    Setakat ini, Kerajaan Negeri memantau 54 buah sekolah yang belum berdaftar dengan jumlah murid seramai 889 orang. Namun demikian, Kerajaan Negeri sedar masih terdapat maahad tahfiz persendirian yang beroperasi tanpa kebenaran dan tidak berdaftar.

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga peka dengan masa depan pelajar-pelajar tahfiz dengan membantu menyediakan peluang menduduki SPM yang pada masa ini giat dilaksanakan oleh KUIS dan UNISEL.

     

  2. Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk terus memperkasakan Pusat Tahfiz tersebut?

    Kerajaan Negeri mempunyai perancangan dalam memperkasakan pusat tahfiz. Antara perancangannya adalah seperti berikut:

    i. Aspek Kurikulum Pendidikan Islam.

    Memastikan kurikulum yang dilaksanakan di Maahad-maahad Tahfiz Persendirian adalah selaras dengan kurikulum-kurikulum yang diperaku oleh MAIS dan JAIS seperti:

    • Kurikulum Tahfiz MITS kelolaan Kerajaan Negeri Selangor (JAIS)

     

    • Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) dan Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

     

    • Kurikulum-kurikulum yang dicadangkan di dalam Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang sedang dibangunkan oleh Bahagian Kemajuan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

    ii.Aspek Kesihatan dan Keselamatan Premis

    Memastikan premis operasi maahad-maahad Tahfiz persendirian adalah menepati syarat dan keperluan yang telah ditetapkan oleh agensi berwajib dengan mengemaskini Garis Panduan Am Pengurusan (Penubuhan dan Pendaftaran) Sekolah Agama Islam Negeri Selangor.

    iii.Kursus dan Latihan

    Menganjurkan kursus dan latihan kepada guru-guru Maahad Tahfiz Persendirian meliputi aspek pengajaran dan pembelajaran (PDPC), pengurusan, pentadbiran, dan kursus perakuan mengajar guru (permit mengajar).

     

Lampiran

Tiada Lampiran.