Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

92) PENCEROBOHAN TANAH KERAJAAN DAN HUTAN SIMPAN

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Edry Faizal Bin Eddy Yusof

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kaedah yang digunapakai oleh Kerajaan Negeri untuk mengesan pencerobohan tanah-tanah kerajaan dan hutan simpan?

    Merujuk kepada persoalan di atas, kaedah yang digunapakai oleh pihak kerajaan negeri untuk mengesan pencerobohan tanah-tanah kerajaan adalah melalui beberapa kaedah dan cara yang wajar. Antara kaedah yang digunapakai dalam mengesan pencerobohan tanah kerajaan adalah seperti berikut :

    • Melalui Aduan Awam

    Kaedah melalui aduan awam adalah salah satu cara yang digunakan pihak kerjaan dalam mengesan dan mengenal pasti segala salahlaku yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Dengan melalui kaedah aduan awam ini juga, pihak kerajaan akan mengumpulkan maklumat dan data yang berkaitan untuk digunapakai semasa menjalankan risikan dan juga tangkapan atau rampasan.

    • Kerjasama bersama setiap daerah atau mana-mana agensi kerjaan yang terlibat

    Kerjasama antara pihak kerajaan negeri dan lain-lain agensi juga akan dilakukan bagi mengesan aktiviti pencerobohan tanah-tanah milik kerajaan. Sebagai contoh, antara usaha sama yang telah dilakukan adalah melibatkan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam mengesan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti pengeluaran bahan batuan tanpa permit yang sah dan penerokaan hutan yang tidak mendapat sebarang kelulusan.

    • Melalui rondaan berkala

    Rondaan secara berkala adalah satu aktiviti atau kaedah yang digunapakai oleh pihak Kerajaan Negeri dalam mengenal pasti tanah-tanah kerajaan yang diceroboh. Sebelum sesuatu tangkapan atau rampasan dilakukan, rondaan akan dibuat di seluruh Negeri dengan kerjasama setiap daerah yang terlibat bagi menyiasat aktiviti yang berkaitan dengan pencerobohan tanah kerajaan. Untuk makluman juga, semasa rondaan juga, pegawai dan anggota yang ditugaskan juga akan melakukan risikan dan tinjauan menggunakan “drone” bagi mendapatkan gambaran jelas dan rekod berkenaan tanah kerajaan yang diceroboh. Dengan adanya rekod dan juga bukti-bukti berkaitan dengan aktiviti pencerobohan tersebut, rampasan dan juga tangkapan dapat dilakukan dengan baik serta mempunyai bukti yang kukuh untuk mengenakan atau mendakwa individu yang melakukan kesalahan tersebut.

    • Penguatkuasaan Undang-undang

    Untuk makluman, dengan menguatkuasakan undang-undang dibawah Seksyen 425 (Pendudukan secara tidak sah, tanah rezab atau tanah perlombongan) dan Seksyen 426 (Pencabutan atau pemindahan bahan batuan secara tidak sah) Kanun Tanah Negara (Akta 828), bahagian penguatkuasaan negeri dapat melakukan dan melaksanakan apa-apa tindakan yang telah diperuntukan di bawah undang-undang tersebut seperti mengenakan kompaun terhadap mana-mana individu yang didapati telah melakukan kesalahan. Ini adalah bertujuan untuk memastikan kedaulatan undang-undang itu dapat dipatuhi dengan sewajarnya.

     

    • Lain-lain kaedah yang digunakan oleh Jabatan Hutan.

    Pada masa kini terdapat beberapa kaedah pemantauan yang dijalankan oleh Jabatan Perhutanan dalam mengawal serta mencegah pencerobohan hutan simpan. Antaranya termasuk aktiviti berikut:-

    • Rondaan Berkala

    Jabatan Perhutanan menjalankan rondaan di sepanjang      sempadan di luar-luar hutan simpanan kekal. Tumpuan             diberikan terhadap kawasan-kawasan yang             berhampiran dengan penempatan.

    • Pemantauan Udara

    Jabatan juga menjalankan pemantauan udara untuk mengenalpasti secara menyeluruh kawasan-kawasan yang berkemungkinan berlaku pencerobohan hutan   simpan.

    • Pemantauan melalui Imej Satelite

    Ibu Pejabat Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM)       dengan kerjasama Agensi Remote Sensing Malaysia             (ARSM) telah membangunkan sistem yang dikenali             sebagai ‘Forest Monitoring Using Remote Sensing’    (FMRS). Dalam sistem ini, pemantauan kawasan ‘hot-           spot’ dan sebarang kes dikesan melalui perubahan imej             satelite. Kawasan ini dibuat diperingkat Unit     Penguatkuasaan dan Pegawai-pegawai Hutan Daerah.

    Selain daripada itu, Jabatan Perhutanan juga membina penghadang/ ‘boom-gate’ pada jalan masuk ke kawasan-kawasan yang sensitif dan terdedah kepada pencerobohan, Ianya dipantau dari semasa ke semasa. Jabatan hutan juga mengambil tindakan penguatkuasaan dengan memusnahkan tanaman-tanaman serta menjalankan program tanaman semula dengan pokok- pokok hutan menggunakan peruntukan tahun semasa. Bagi kawasan-kawasan yang baru dikesan, Jabatan mengeluarkan notis terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan.

Lampiran

Tiada Lampiran.