Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
17 Ogos - 20 Ogos 2015
158) PENCEROBOHAN TANAH
Tahun: 2015
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah bilangan pencerobohan tanah milik Kerajaan yang berjaya diselesaikan?
Berdasarkan maklumbalas dari Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), jumlah kes pencerobohan tanah kerajaan yang melibatkan tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 425, Kanun Tanah Negara, dan berjaya diselesaikan dari tahun 2013 hingga 2015 adalah sebanyak 81 kes.
-
Apakah bentuk tindakan/hukuman dikenakan ke atas penceroboh?
Penceroboh yang telah didapati menceroboh tanah kerajaan akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara, yang mana seseorang yang telah disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM10,000.00, atau dipenjarakan untuk suatu tempoh yang tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya sekali. Penceroboh juga akan diarahkan untuk mengosongkan tanah kerajaan yang diceroboh mengikut tempoh yang telah ditetapkan dalam notis.
-
Apakah halangan bagi tindakan segera dalam menguatkuasakan undang-undang ke atas kesalahan pencerobohan?
Di antara halangan-halangan bagi tindakan segera dalam menguatkuasakan undang-undang ke atas kesalahan pencerobohan tanah kerajaan adalah seperti berikut:
- Kekurangan anggota penguatkuasa dan pegawai penyiasat yang kompeten dalam mengendalikan kes-kes pencerobohan tanah kerajaan.
- Kekurangan peruntukan kewangan bagi membina papan tanda amaran dan pagar.
Sehubungan itu, bagi mengatasi halangan-halangan tersebut, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) melalui mesyuarat MMKN Bilangan 34/2014 telah meluluskan pertambahan perjawatan bagi tujuan pemerkasaan di Bahagian Penguatkuasaan. Di samping itu, Perbendaharaan Negeri Selangor juga telah meluluskan peruntukan berjumlah RM300,00.00 bagi tujuan pemagaran dan papan tanda di atas semua tanah-tanah kerajaan.