Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017
266) PENCEROBOHAN BUKIT BROGA
Tahun: 2017
Sesi: 3
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Mohon menyatakan secara lengkap hasil siasatan Kerajaan Negeri mengenai pencerobohan tanah di Bukit Broga, Semenyih baru-baru ini.
Tapak yang diceroboh merupakan Tanah Kerajaan di Mukim Semenyih, Daerah Hulu Langat seluas lebih kurang 143 ekar. Di sekitar tapak merupakan tanah ‘Sakai Dusun’ (lebih kurang 1 ekar) di bahagian barat laut dan di bahagian barat daya merupakan ‘Sakai Land Fruit Trees’ (lebih kurang 30 ekar).
Lawatan tapak Pejabat Daerah/ Tanah Hulu Langat bersama pihak Majlis Perbandaran Kajang yang disertai oleh Pegawai Pejabat Yang Berhormat Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Penyelaras DUN Semenyih, pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN), Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah dan pada 2 Ogos 2017 mendapati bahawa penerokaan tersebut merupakan Program Tanaman Semula Getah Secara Berkelompok Kampung Orang Asli (KOA) Broga.
Program tersebut diselaraskan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Hulu Langat melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Stesen Selangor Selatan dan melibatkan 43 orang peserta dari Kampung Orang Asli Broga.
Pengusaha orang asli mendakwa bahawa tapak tersebut merupakan Kawasan Rayau dan dusun yang diusahakan oleh generasi terdahulu mereka.
-
Mengapa penceroboh tidak dikenakan tindakan dan apakah status pemulihan terkini?
Pentadbir Tanah Hulu Langat telah mengambil tindakan berikut terhadap penceroboh:
- Ketua KOA Broga telah diarahkan untuk menghentikan kerja-kerja di tapak ketika sesi lawatan bersama pihak Majlis Perbandaran Kajang yang disertai oleh Pegawai Pejabat Yang Berhormat Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Penyelaras DUN Semenyih, pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN), Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah pada 2 Ogos 2017; dan
- surat peringatan dikeluarkan kepada pihak JAKOA pada 6 Ogos 2017 supaya tidak meneruskan aktiviti
- Perkara ini juga telah diangkat dan dibincangkan di dalam Mesyuarat EXCO- MTES pada 17 Ogos 2017 dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ke 28/ 2017 pada 30 Ogos 2017 yang antara lainnya bersetuju tindakan pemulihan seperti berikut:
- supaya Bukit Broga ditutup sementara kepada orang ramai daripada aktiviti rekreasi dan pelancongan sehingga JKR Selangor selesai melaksanakan kerja- kerja mitigasi;
- meluluskan peruntukan segera kepada JKR Selangor bagi melaksanakan langkah mitigasi iaitu membina longkang tanah sementara bagi mengalirkan air hujan dan seterusnya melaksanakan kerja-kerja pembinaan berm drain dan cascade drain serta menanam rumput di teres yang telah terhakis dengan kaedah close turfing;
- meluluskan secara dasar peruntukan sebanyak RM 90,375.00 bagi kerja-kerja pengindahan lanskap setelah kerja-kerja mitigasi oleh JKR Selangor
- JKR Hulu Langat telah meluluskan Projek Pencegahan Hakisan Cerun Di Bukit Broga, Daerah Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan dengan harga kontrak berjumlah RM901,000.00 (termasuk 6% GST) dengan tempoh siap dua (2) bulan.
- Kontraktor yang dilantik telah memulakan kerja pembersihan kawasan tebing bagi kerja-kerja pemasangan Fibromat sebelum kerja-kerja Hydroseeding dimulakan.
-
Apakah langkah yang diambil supaya masalah pencerobohan di bukit itu tidak lagi berlaku?
Untuk mengelakkan pencerobohan di Bukit Broga, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ke 28/ 2017 pada 30 Ogos 2017 telah bersetuju seperti berikut:
supaya PTD Hulu Langat mewartakan tanah kerajaan seluas lebih kurang 143 ekar yang diteroka sebagai kawasan rekreasi dengan melantik Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai Pegawai Pengawal dan Majlis Perbandaran Kajang sebagai Pegawai Penyelenggara; dan
supaya JAKOA mendapatkan ukuran sebenar lot tanah Sakai Dusun dan Sakai Land Fruit Trees dan mengemukakan permohonan pewartaan kepada PTD Hulu
Pihak MPKj dan JAKOA masing-masing dalam tindakan untuk mengemukakan permohonan pewartaan berkaitan.