Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
3 September 2018 hingga 7 September 2018
223) PENCEROBOH TANAH
Tahun: 2018
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Penceroboh tanah kerap berlaku di kawasan Bandar Country Homes, Sungai Bakau dan Batu Arang, nyatakan tindakan yang telah diambil dan akan diambil.
Bagi kawasan-kawasan yang telah dinyatakan, pihak Pejabat Daerah Dan Tanah Gombak telah mengambil pelbagai inisiatif bagi mengawal pencerobohan tanah Antara langkah yang telah dilaksanakan adalah penyampaian notis, pemasangan papan tanda larangan menceroboh dan juga operasi perobohan selain daripada perampasan jentera. Dalam masa yang sama, pihak Pejabat Daerah Dan Tanah Gombak turut melaksanakan pemantauan sebagai aspek kawalan.
-
Apakah kekangan yang dihadapi oleh pihak Kerajaan atas isu penceroboh tanah?
Dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan, ianya bukanlah suatu perkara yang boleh dilaksanakan secara terus. Namun demikian, kekangan di dalam melaksanakan suatu tindakan pastinya wujud. Antara perkara yang dilihat merencatkan tindakan ke atas pencerobohan tanah adalah tiadanya punca kuasa yang khusus untuk anggota penguatkuasaan di bawah mana-mana seksyen Kanun Tanah Negara (KTN) mahupun Kaedah Tanah Selangor (KTS) untuk apa kes sekalipun. Hanya Pentadbir Tanah atau Penolong Pegawai Tanah yang mempunyai kuasa berkenaan seperti mana yang dinyatakan di bawah KTN dan KTS. Memandangkan hanya ada empat (4) penolong pegawai tanah yang menyelia empat kumpulan di Unit Penguatkuasa untuk mengawal selia Daerah Gombak yang luas ini justeru kekangan penguatkuasaan tidak dapat dielakkan. Selain itu wujudnya unsur ugutan, tindakan agresif dan gangsterisme dari penceroboh dan gangguan dari pihak ketiga yang turut menggugat tindakan penguatkuasaan. Faktor-faktor yang dinyatakan ini menjadi kekangan yang dihadapi oleh pihak Kerajaan atas isu penceroboh
-
Nyatakan SOP tindakan atas aduan penceroboh tanah.
Secara amnya tiada Standard Operating Procedures (SOP) khusus yang dikuatkuasa di bawah KTN, hanya SOP dalaman di peringkat Pejabat Daerah dan Tanah Gombak yang disediakan oleh Pentadbir Tanah Gombak yang digunapakai sebelum suatu tindakan penguatkuasaan dijalankan. SOP ini adalah berbeza di antara semua PDT di Selangor walau bagaimanapun ini adalah berdasarkan kaedah terbaik (best practices) yang dirangka berdasarkan kesesuaian di Daerah Gombak. Antara SOP yang diamalkan adalah menerima aduan daripada masyarakat ataupun daripada hasil rondaan. Selepas suatu aduan diterima, ianya akan diproses di dalam bentuk laporan bagi memastikan kesahihan aduan Sekiranya tiada sebarang pencerobohan tanah kerajaan berlaku, ianya akan dimaklumkan kembali kepada pengadu. Namun demikian, sekiranya aduan tersebut adalah berasas maka langkah selanjutnya akan diambil seperti penghantaran notis, pemasangan papan tanda larangan menceroboh dan tindakan penguatkuasaan sekiranya diperlukan.