Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

38) PENCEMARAN UDARA DI RAWANG

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri bagi mengawal isu pencemaran air dan udara di kawasan industri, terutamanya pada waktu malam?

    Kerajaan Negeri melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor melaksanakan tindakan-tindakan berikut bagi mencegah dan mengawal isu pencemaran air dan udara di kawasan industri, antaranya :-

     

    1. Melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara rutin ke atas  premis yang tertakluk kepada AKAS 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya yang dikenalpasti berisiko  menyebabkan pencemaran alam sekitar. Penguatkuasaan meliputi premis atau punca-punca pencemaran yang menghasilkan beban pencemaran yang tinggi,  terutamanya yang terletak di hulu takat pengambilan air, premis yang sering diadu,  premis menghasilkan buangan terjadual dalam kuantiti yang tinggi atau terletak di kawasan yang mempunyai isu alam sekitar atau di lembangan sungai yang tercemar.
    2. Penumpuan aktiviti penguatkuasaan diberikan terhadap lapan (8) Sektor Industri Berisiko Tinggi Mencemar Alam Sekitar meliputi industri-industri pembuatan produk logam, pembuatan kertas dan produk kertas, pembuatan logam asas, pembuatan produk getah dan plastik, pembuatan produk galian bukan logam, pembuatan produk makanan, pembuatan kimia dan produk kimia dan pembuatan produk petroleum yang tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
    3. Menjalankan aktiviti rondaan mingguan yang dilakukan di kawasan industri yang dikenalpasti sebagai kawasan hotspot dan sering menerima aduan.
    4. Melaksanakan Operasi Gempur dan Operasi Lembangan pada setiap bulan ke atas premis-premis yang terletak dalam lembangan sungai serta premis yang menghasilkan jumlah efluen serta buangan terjadual yang  tinggi.
    5. Pelaksanaan kaedah Environmental Mainstreaming Tools (eMAINS) yang menekankan kepada pihak industri mengenai keperluan dan kepentingan pematuhan kendiri (self regulatory) melalui tujuh (7) kaedah yang telah ditetapkan, pelaksanan audit pematuhan alam sekitar oleh pihak ketiga, serta melantik Orang Yang Berwibawa (Competent Person) untuk menyelia operasi sistem kawalan pencemaran
    6. Menggabungkan pelbagai kaedah dan strategi melalui penggunaan teknologi bagi mengesan kes-kes pencemaran seperti penggunaan thermal drone bagi membolehkan pemantauan di kawasan industri dapat dijalankan pada waktu malam.
    7. Selain dari itu, pemantauan secara berterusan ke atas data pelepasan  efluen dan data pemantauan cerobong oleh pihak industri bagi memastikan pelepasan efluen perindustrian serta pelepasan gas daripada industri sentiasa mematuhi nilai batas yang telah ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

     

    Selain itu, sebagai tindakan secara holistik dalam pengurusan sumber air, Kerajaan Negeri Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melaksanakan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu/ Integrated River Basin Management (IRBM) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor (JAS), Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Daerah dan Tanah bagi pemantauan bersepadu dalam memastikan persekitaran sumber air terpelihara dari ancaman pencemaran.

     

    Selaras dengan itu bagi memastikan sumber air terpelihara, inisiatif pihak LUAS dalam memperkasakan tindakan pemantauan dan juga kawalan punca pencemaran termasuk melibatkan sektor industri adalah seperti berikut:

     

    1. Penubuhan Skuad Pantas LUAS telah ditubuhkan pada 1 Disember 2020 yang bertujuan meningkatkan keberkesanan pemantauan dan tindakan pencegahan pencemaran sumber air di lembangan sungai strategik bagi meminimakan henti tugas loji rawatan air di Negeri Selangor. Pelaksanaan pemantauan secara 24 jam pada waktu siang dan malam di Lembangan Sungai Selangor dan Lembangan Sungai Langat.Operasi Skuad Pantas LUAS ini dilaksanakan melalui dua (2) kaedah iaitu rondaan 24 jam dan pemantauan statik (pensampelan in-situ) di kawasan sensitif yang dikenal pasti di lembangan sungai-sungai utama yang membekalkan sumber air kepada muka sauk loji rawatan air.Pemantauan secara rondaan oleh Skuad Pantas LUAS dilaksanakan dengan memantau kualiti air mentah di beberapa lokasi berisiko tinggi dan berhampiran punca potensi pencemaran. Lokasi-lokasi rondaan kawasan berisiko tinggi ini juga adalah berada di kawasan perindustrian seperti di kawasan Sungai Gong, Sungai Kabul, Sungai Rinching, Sungai Pajam dan lain-lain lagi; dan
    2. Inisiatif Kerajaan Negeri bagi tempoh jangka panjang bagi kawalan terhadap isu pencemaran termasuk aktiviti industri adalah pengawalan pencemaran dipunca (control at source) iaitu kawalan pelepasan efluen daripada aktiviti premis. Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS sedang menggerakkan inisiatif dasar Zero Discharge Policy (ZDP) dengan pendekatan Polluters Pay Principle (PPP).Polisi ini adalah pendekatan untuk meningkatkan kebertanggungjawaban sektor pembangunan dan ekonomi terhadap sumber air dan alam sekitar. Pelaksanaan Polisi ini dilihat mampu untuk meningkatkan kualiti air sungai dan ekosistem persekitarannya dan seterusnya mengurangkan impak negatif daripada sektor ekonomi dan menggalakkan amalan pengurusan terbaik (Best Management Practices, BMPs) atau teknologi hijau/green technology seperti kitar semula pelepasan efluen oleh sektor ekonomi. Untuk itu, usaha menambahbaik peraturan sedia ada telah dilaksanakan bagi menggerakkan inisiatif ZDP ini yang telah diwartakan Peraturan-peraturan Pelesenan Pembuangan Air Kembalian, Dan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Buangan Dan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2024 pada 20 Jun 2024 yang akan turut melibatkan sektor industri.
  2. Apakah tindakan terhadap aduan pencemaran udara dan habuk daripada penduduk Kondo Legendview Rawang?

    JAS Selangor telah menjalankan beberapa siri pemeriksaan berkala dan juga siasatan aduan pencemaran udara yang dikatakan oleh penduduk Kondo Legendview Rawang berpunca daripada premis loji asfalt yang terletak lebih kurang 180 meter daripada kediaman tersebut. Berdasarkan rekod, JAS Selangor telah mengambil tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling,1974 (AKAS 1974) bagi menghentikan pencemaran udara dari terus berlaku dan mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31, Akta yang sama bagi mengarahkan tindakan-tindakan pembaikan dan pematuhan. Beberapa siri perbincangan dengan pihak premis dan konsultan juga turut diadakan. JAS Selangor telah mengarahkan premis tersebut supaya menyelenggara Sistem Kawalan Pencemaran Udara (SKPU), menjalankan pemantauan prestasi SKPU dan menyediakan orang yang berwibawa (competent person) bagi memastikan kecekapan SKPU dalam mengawal pelepasan habuk serta menjalankan percontohan cerobong (isokinetic sampling). Di samping itu, premis juga diminta untuk menggunakan bahan mentah yang kering dalam proses pembuatan bagi mengelakkan pelepasan asap putih yang tebal dan membasahkan jalan di dalam premis dengan menggunakan ‘water sprinkler’ bagi mengurangkan habuk ‘fugitive’.

    Pihak premis tersebut telah mengambil  tindakan pembaikan dengan memasang SKPU baharu (‘wet scrubber’ kepada ‘ventury scrubber’) bagi mengawal pencemaran udara yang dihasilkan dan mengambil tindakan seperti yang telah diarahkan. Premis juga telah menjalankan percontohan cerobong dan berdasarkan laporan percontohan cerobong yang diterima mendapati pelepasan asap/habuk daripada cerobong premis adalah mematuhi had nilai batas dan standard teknikal yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih), 2014.

    JAS Selangor juga menjalankan rondaan pemantauan dan pencegahan pencemaran pada hujung minggu di kawasan tersebut dan juga di sekitar kawasan perumahan terdekat. Hasil pemantauan mendapati premis beroperasi tetapi bergantung kepada permintaan asfalt bagi membekalkan produk untuk kegunaan pembuatan jalanraya, lebuhraya dan sebagainya serta pelepasan asap daripada cerobong premis adalah patuh.

Lampiran

Tiada Lampiran.