Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
111) PENCEMARAN UDARA
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk menangani masalah kualiti udara yang disebabkan oleh pembakaran terbuka dan jerebu, khususnya semasa musim panas?
Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan pencegahan setiap kali bermulanya fasa musim cuaca panas dan kering iaitu pada tempoh fasa peralihan monsun yang biasa berlaku pada penghujung Februari setiap tahun. Dalam tempoh tersebut, JAS akan mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka yang menggariskan Langkah-langkah seperti berikut:
- Meningkatkan rondaan pemantauan darat serta penggunaan dron bagi pemantauan di kawasan-kawasan yang mudah terbakar (prone areas) seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah;
- Mengeluarkan surat arahan kepada Pihak Berkuasa Tempatan yang bertanggungjawab ke atas tapak pelupusan sampah dan pemilik ladang bagi mengambil langkah pencegahan dan kawalan rapi bagi memastikan kawasan seliaan tidak terbakar;
- Mempertingkatkan kempen-kempen kesedaran sebagai peringatan untuk orang ramai tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menyumbangkan kepada kemerosotan kualiti udara.
JAS juga turut mengaktifkan Prosedur Tetap Operasi (SOP) untuk melaksanakan Program Pencegahan Kebakaran di Tanah Gambut dengan mengambil langkah-langkah seperti berikut:
- Memaklumkan pihak kerajaan negeri dan pemilik tanah persendirian untuk mengambil langkah pencegahan dan pemeriksaan di semua kawasan tanah gambut yang mudah terbakar;
- Mengeluarkan pemberitahuan kepada Jabatan Perhutanan/ Pihak Berkuasa Tempatan untuk memantau pembakaran terbuka melalui rondaan darat dan menara tinjau;
- Mengeluarkan pemberitahuan kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengepam air dari telaga air tanah dan memeriksa sekatan saliran dan memantau saliran air jika saliran kering.
JAS Negeri Selangor juga telah meningkatkan pemantauan melalui rondaan darat dengan mengadakan kerjasama dengan pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi penugasan rondaan pemantauan harian untuk mencegah kebakaran di kawasan-kawasan risiko dan sering terbakar. Selain itu, JAS Negeri Selangor juga turut mengaktifkan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka pada waktu hujung minggu dan hari cuti umum bagi memantau dan mencegah aktiviti pembakaran di kawasan-kawasan hotspot yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka.
Sekiranya keadaan cuaca yang diramalkan sehingga pada keamatan suhu panas yang melampau, JAS melalui pihak Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) bagi meningkatkan pemantauan dan tindakan berjaga-jaga bagi mencegah pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu tempatan, menjejaskan kualiti udara dan kesihatan orang awam.
Selain itu, JAS Negeri Selangor juga telah mengambil inisiatif melalui pewartaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 (Akta 127) pada 7 Julai 2024 dengan meningkatkan tindakan penguatkuasaan di bawah kesalahan pembakaran terbuka yang diperuntukkan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024). Nilai tawaran kompaun minimum daripada RM 2,000 kepada tidak melebihi 50% daripada jumlah penalti yang diperuntukan akan dikenakan bagi kesalahan tersebut. Selain itu, nilai denda juga telah ditingkatkan kepada tidak kurang RM25,000 dan denda maksimum tidak melebihi RM 1,000,000.