Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

234) PENCEMARAN SUNGAI PENCHALA

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah sumber sumber pencemaran untuk Sungai Penchala?

    Berdasarkan rekod Lembaga kedudukan Sungai Penchala adalah di kawasan yang pesat membangun di Lembangan Sungai Klang dan ia merupakan salah satu anak sungai utamanya. Selaras dengan itu, degradasi kualiti air Sungai Penchala adalah berpunca daripada beberapa sumber pencemaran yang terdiri daripada tapak pembuangan sampah haram di tebing sungai, pembinaan struktur tanpa kebenaran di rizab sungai, pelepasan sisa industri, aktiviti kerja tanah berhampiran rizab sungai, sisa domestik dan sullage water dari kawasan perumahan serta efluen kumbahan dari Loji Rawatan Kumbahan.

  2. Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk mengatasi pencemaran ini?

    Sungai Penchala terletak di dalam Lembangan Sungai Klang di mana satu pelan pengurusan sungai yang dinamakan sebagai Pelan Pengurusan Sungai Bersepadu (Integrated River Basin Management) Sg Klang telah dihasilkan yang merangkumi empat (4) polisi dan 42 strategi yang perlu dilaksanakan oleh pemegang taruh. Polisi-polisi yang telah digariskan ialah Polisi 1: Memastikan Air Mencukupi, Polisi 2: Memastikan Air Bersih, Polisi 3: Mengurangkan Risiko Banjir; dan Polisi 4: Pemuliharaan Alam Sekitar. Strategi-strategi yang dihasilkan ini adalah bertujuan untuk meminimumkan kesan pencemaran yang berlaku di Lembangan Sungai Klang termasuklah Sungai Penchala dari aspek perancangan dan pelaksanaan. Selain itu, pemantauan dan penguatkuasaan berkala juga dilakukan bagi membendung sebarang bentuk pencemaran melalui Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang. Pewartaan rizab sungai juga dilaksanakan bertujuan untuk mengawal aktiviti-aktiviti di sepanjang 50 meter rizab sungai.

  3. Bilakah Sungai Penchala dijangka boleh jernih dan selamat untuk manusia mandi dan main air sungai?

    Pemulihan dan pemuliharaan sungai yang telah sedia tercemar memerlukan jangka masa yang lebih lama dan kos yang diperlukan juga agak tinggi. Walau bagaimanapun, usaha-usaha yang dilaksanakan oleh pemegang-pemegang taruh seperti meningkatkan langkah kawalan pencemaran terhadap projek pembangunan, pematuhan terhadap perundangan sedia ada dengan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas mampu mengurangkan risiko pencemaran di Sungai Penchala. Kerjasama daripada pelbagai pihak seperti NGO dan juga penyertaan awam dalam penjagaan sungai dan alam sekitar juga perlu dipertingkatkan dalam memastikan sumber air terpelihara.

Lampiran

Tiada Lampiran.