Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

296) PENCEMARAN SUNGAI DI SELANGOR

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kerajaan sudah mengenal pasti punca pencemaran ini?

    Gangguan operasi Loji Pembersihan Air Sungai Semenyih pada 15 Februari serta 3, 7 dan 19 Mac 2015 adalah disebabkan penurunan parameter pH serta peningkatan parameter Mangan dan Ammoniakal Nitrogen di Sungai Semenyih.

    Bagi gangguan pada 15 Februari 2015, hasil siasatan mendapati beberapa sampel air Sungai Semenyih mencatatkan bacaan parameter pH yang rendah antara 3.0 – 4.0. Namun, kesannya hilang apabila siasatan dijalankan di kawasan yang lebih hulu. Ini dipercayai pelepasan dilakukan dalam tempoh yang singkat serta kesannya telah hilang dan telah mengalir ke kawasan hilir. Turut ditemui Sungai Purun, iaitu anak Sungai Semenyih yang mencatatkan bacaan pH yang rendah iaitu 2.7 dan dikenalpasti sebuah kilang yang melepaskan efluen dengan bacaan pH yang tidak mematuhi piawaian berdasarkan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan kini dalam tindakan JAS.

    Bagi gangguan pada 3, 7 dan 19 Mac 2015, sehingga kini tiada punca yang signifikan yang dikenalpasti menyumbang kepada masalah ini. Pemantauan di Sungai Purun pula mendapati paras pH adalah menunjukkan bacaan yang baik. Pemantauan akan terus dijalankan secara berkala bagi mengenalpasti punca sebenar masalah ini.

  2. Bagi mengatasi masalah yang sama saban tahun apakah tindakan jangka panjang yang telah diambil?

    Siasatan bersepadu telah dilaksanakan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang dan Konsortium ABASS Sdn Bhd bagi mengenalpasti punca pencemaran ini. Operasi pemantauan kualiti air sungai secara statik turut dijalankan di beberapa kawasan yang disyaki.

    Gangguan operasi Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Semenyih yang disebabkan oleh perlanggaran parameter Mangan ini merupakan isu baru dan kali pertama dihadapi. Kekurangan sumber rujukan antara kekangan yang dihadapi dalam mengenalpasti punca pencemaran.

    Pihak LUAS juga telah mendapatkan perkhidmatan Pusat Penyelidikan Forensik Alam Sekitar UPM untuk menjalankan pensampelan dan analisis bagi membantu siasatan. Berdasarkan keputusan analisis yang diperoleh, tiada perbezaan yang ketara bagi parameter pH dan Mangan berbanding garis panduan kualiti air Minum Kebangsaan untuk air mentah yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

    Memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri. Melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), pemantauan dan siasatan (berkala dan tidak berkala) dijalankan bagi memastikan sumber air dipelihara daripada pelbagai aktiviti yang memberikan kesan negatif kepada kuantiti dan kualitinya.

    Dalam pada itu, usaha penjagaan dan pemuliharaan sumber air dilaksanakan melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan :

    • Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai,
    • Pasukan Petugas Lembangan Sungai, dan
    • Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber

    Penguatkuasaan kuasa perundangan yang diperuntukkan dilaksanakan dalam penjagaan sumber air, antaranya :

    • pelesenan Kemasukan   Atau    Pelepasan   Bahan   Pencemar   (Negeri Selangor) 2012,
    • pemberian Kebenaran Bertulis bagi Aktiviti Pengubahan Sumber, semua aktiviti yang dijalankan melibatkan badan air, dan
    • pengeluaran Notis Pemberitahuan Kesalahan, Kompaun dan pendakwaan bagi setiap kesalahan yang berkaitan dengan sumber

    Selain itu, beberapa program sedang dilaksanakan, antaranya :

    • Mewartakan kawasan rizab sungai sebagai zon perlindungan bagi tujuan kawalan fizikal dan kualiti air
    • Menyediakan daftar sumber air Negeri untuk tujuan kawalan dan penguatkuasaan;
    • Kajian semula inventori pemetaan pencemaran dengan penganalisaan risiko tahap pencemaran dan menetapkan syarat yang lebih ketat; dan

     

    • Pembangunan Decision Support    System,    (DSS)    bagi    pengurusan Lembangan Sungai Selangor secara holistik.

    MAKLUMAT TAMBAHAN

    • Pelesenan Kemasukan Atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012

    melibatkan 7 Aktivti Berjadual iaitu akuakultur udang laut, akuakultur air tawar, kawasan pembangunan atau kerja tanah, penternakan selain babi, penternakan babi, haiwan kesayangan dan pencucian pasir/kuari.

    • Pengeluaran Notis Pemberitahuan Kesalahan, Kompaun dan Pendakwaan.

    Untuk kes pencemaran minyak Sungai Selangor yang berlaku pada Ogos 2013, pendakwaan telah dibuat dan kini kes Selangor tersebut sedang dalam peringkat perbicaraan di Mahkamah Shah Alam.

    • Pewartaan kawasan rizab sungai sebagai zon

    Tiada aktiviti berisiko tinggi yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran air sungai dibenarkan di kawasan rizab sungai yang telah diwartakan. Sungai Selangor telah pun diwartakan. Sungai Langat, Sungai Semenyih dan anak-anak sungai lain sedang dalam tindakan pewartaan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Negeri Selangor;

    • Pembangunan Decision Support System, (DSS)

    pelepasan air empangan akan dilaksanakan secara optima dengan mengambilkira keadaan semasa aliran sungai dan juga ramalan hujan di kawasan tadahan. Pembangunan DSS ini juga akan direplikasi kepada lembangan lain secara berfasa.

  3. Nyatakan tindakan tegas dari segi perundangan yang telah diambil dan apakah kerajaan menjamin gangguan ini tidak akan berlaku

    Pihak Lembaga bersama-sama pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor telah mengambil tindakan pendakwaan di Mahkamah Seksyen Shah Alam terhadap pemilik premis yang telah dengan sengaja membuang sisa minyak ke dalam Sungai Gong di Lembangan Sungai Selangor di bawah seksyen 79(1)(d) Enakmen LUAS 1999 dan seksyen-seksyen 25(1), 24(1), 34B(1) (a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Pihak Lembaga sentiasa menjalankan pemantauan di setiap Lembangan Sungai bagi memastikan tiada sebarang aktiviti pencemaran sungai dilakukan oleh premis-premis berhampiran sungai.

    Kerajaan Negeri berusaha untuk mengurangkan gangguan operasi loji pembersihan air (LPA) melalui langkah-langkah yang dinyatakan seperti perkara (b) di atas.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.