Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

24) Pencemaran Sungai Di Selangor

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Senaraikan jumlah kompaun dan tindakan penguatkuasaan yang telah dikenakan sehingga kini terhadap pihak yang melepaskan sisa kimia dan bahan pencemaran sungai di Selangor?

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, jumlah kompaun dan tindakan penguatkuasaan yang telah dikenakan sehingga kini terhadap pihak yang melepaskan sisa kimia dan bahan pencemaran sungai di Selangor adalah seperti di Lampiran berikut:

  2. Apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah pencemaran sungai, longkang serta saliran di negeri Selangor?

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor melaksanakan pemeriksaan secara berjadual terhadap industri yang menghasilkan efluen perindustrian dan menjana Buangan Terjadual serta melaksanakan siasatan segera ke atas kes-kes aduan pencemaran sungai. JAS juga melaksanakan Operasi Gempur setiap bulan di kawasan-kawasan perindustrian yang terletak di hulu takat pengambilan air.

    Di samping penguatkuasaan secara “Command and Control”, pendekatan pematuhan kendiri iaitu “Guided Self-Regulation” turut dikuatkuasakan terhadap industri bermula pada tahun 2016 di mana pihak industri dikehendaki mengarusperdana pengurusan alam sekitar, antara lainnya termasuklah melaporkan status pematuhan secara atas talian kepada JAS iaitu Online Environmental Reporting dan mengambil kerja Orang Yang Berwibawa untuk mengendalikan Sistem Pengolahan Efluen Perindustrian dan pengurusan Buangan Terjadual secara teratur agar mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya pada sepanjang masa.

    Bagi aktiviti yang tertakluk kepada Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015, Perintah Berhenti Kerja boleh dikeluarkan terhadap pemaju projek yang melanggar syarat-syarat kelulusan laporan EIA yang menyebabkan pencemaran sungai yang serius di peringkat kerja tanah.

    Berikutan insiden pencemaran sungai yang menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) sejak akhir-akhir ini, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui JAS sedang menyediakan draf pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 iaitu bagi menaikkan jumlah penalti (denda dan/atau penjara) dan nilai kompaun serta menetapkan standard pelepasan yang lebih ketat.

    Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

    Langkah kawalan dan tindakan Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam mengatasi pencemaran sumber air bagi memastikan sumber air yang lestari dengan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (Integrated River Basin Management, IRBM) adalah berdasarkan Pelan Tindakan Bersepadu Menangani Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor seperti berikut:

    1) Kajian semula perundangan Enakmen LUAS 1999 yang melibatkan peningkatan jumlah denda, kompaun dan penjara;

    2) Pengemaskinian dan pemantauan inventori aktiviti guna tanah di rizab sungai dalam Sistem Maklumat Geografi (GIS);

    3) Pelaksanaan tindakan pemantauan isu pencemaran serta penguatkuasaan secara bersepadu;

    4) Mengadakan perbincangan dan penyelarasan di antara agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan;

    5) Pelaksanaan Ops Sumber Air iaitu operasi pemantauan bersepadu 24 jam di lembangan sungai utama dan kawasan sensitif sumber air Negeri Selangor;

    6) Mempergiatkan tindakan penguatkuasaan dan perundangan yang tegas seperti Kompaun dan pendakwaan di Mahkamah. Berdasarkan rekod sehingga Ogos 2020, 357 Notis dan 12 Kompaun telah dikeluarkan;

    7) Mempergiatkan pemantauan berkala bagi pematuhan syarat kepada premis berlesen oleh LUAS;

    8) Pelaksanaan Surat Arahan di bawah seksyen 121(1) dan Perintah Perlindungan Air di bawah seksyen 122(1), Enakmen LUAS 1999 kepada premis pencemar atau berisiko bagi kawalan pencemaran di punca dan menjalankan kerja-kerja pembersihan dengan kadar segera;

    9) Menyediakan sistem pemantauan awal ‘early warning system’ dengan pembangunan stesen telemetri kualiti air (15 River Monitoring Station) di kawasan strategik hulu muka sauk dengan kerjasama strategik Pengurusan Air Selangor;

    10) Mengkaji dan mengenalpasti peralatan bagi mengesan pencemaran bau yang bersesuaian dan efektif bagi membantu tindakan penyiasatan punca pencemaran; dan

    11) Mempergiat dan memperkasakan program kesedaran awam di kalangan komuniti sungai seperti pelaksanaan Friends of River.

    Selain daripada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) pula sentiasa memantau keadaan di rizab-rizab sungai dan akan melaporkan kepada pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkaitan sekiranya terdapat aktiviti-aktiviti yang menjejaskan kualiti air sungai.

Lampiran

Tiada Lampiran.