Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
249) PENCEMARAN SUNGAI DAN ALAM SEKITAR
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Nushi Bin Mahfodz
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah punca air Sungai Kabul di Beranang bertukar warna menjadi merah jambu?
Siasatan LUAS mendapati punca aliran tercemar tersebut disyaki daripada sebuah premis di Kawasan Perindustrian Mahkota, Beranang yang mana terdapat aliran berwarna di titik akhir pelepasan premis seterusnya ke alur buatan di kawasan sekitar premis yang mengalir masuk ke Sg. Kabul dan seterusnya ke Sg. Beranang dan Sg. Semenyih. Semakan lanjut mendapati punca aliran berwarna berkenaan adalah disebabkan oleh pelepasan air sisa daripada operasi premis berkenaan.
-
Apakah langkah segera yang diambil untuk menyiasat dan mengawal pencemaran ini?
LUAS telah segera mengarahkan premis berkenaan untuk menghentikan dan menutup pelepasan serta-merta. Surat Pemberitahuan Bertulis di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999 telah diberikan kepada premis tersebut untuk melaksanakan pembersihan serta merta di lokasi yang terlibat. LUAS juga telah melaksanakan pensampelan di lokasi-lokasi berkaitan bagi analisis Jabatan Kimia Malaysia (JKM) dan tindakan penguatkuasaan lanjut melalui kertas siasatan yang dibuka di bawah Seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999.
-
Adakah kejadian ini disebabkan oleh aktiviti industri atau pembuangan sisa yang tidak terkawal? Jika ya, apakah tindakan terhadap pihak yang terlibat?
Siasatan mendapati antara punca yang ditemukan adalah dari aktiviti industri di Kawasan Perindustrian Mahkota 2 Beranang dari premis yang menjalankan aktiviti kitar semula. Antara tindakan terhadap pihak terbabit adalah:
- Mengeluarkan Pemberitahuan Bertulis di bawah seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999; dan
- Membuka kertas siasatan di bawah seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga (3) tahun dan denda minimum RM 200,000 dan maksimum RM 1,000,000