Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

11) PENCEMARAN SUNGAI BULOH (BAGAN SG BULOH)

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah kerajaan untuk menangani isu pencemaran sungai di Sungai Buloh (Bagan Sg Buloh, Jeram) yang masih tidak berkesudahan?

    Lembangan Sungai Buloh merupakan antara lembangan sungai utama di Negeri Selangor yang mengalami permasalahan kualiti air berikutan pembangunan perindustrian dan komersial yang pesat di kawasan persekitarannya. Anggaran luas kawasan tadahan Lembangan Sungai Buloh ialah 524 km2 dengan anggaran panjang sungai ialah 64.1 km. Kawasan hulunya bermula dari kawasan Hospital Sg. Buloh sehingga ke Muara Pekan Sg. Buloh Jeram, Kuala Selangor. Walau bagaimanapun, Sungai Buloh tidak membekalkan sumber air kepada Loji Rawatan Air (LRA), tetapi di bahagian muara Sungai Buloh dan disepanjang pesisiran pantainya merupakan pusat ekonomi nelayan bagi penternakan kebun kerang. Sebarang pencemaran dari  kawasan sungai akan memberi kesan kepada hidupan persisiran pantai khususnya kerang. Selaras dengan itu, inisiatif Kerajaan Negeri melalui LUAS telah dilaksanakan bagi memastikan langkah-langkah kawalan pencemaran di Sungai Buloh seperti berikut:

     

    • Penyelarasan tindakan bersepadu melalui Pelan Tindakan Sungai Buloh (PTSB) yang telah diluluskan Mesyuarat Lembaga Bil 1/2017 pada 6 Jun 2017. Mesyuarat PTSB ini dipengerusikan Pengarah LUAS yang turut dihadiri oleh semua agensi teknikal berkaitan, Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Daerah dan Tanah, wakil pihak berkepentingan. Disamping itu, penyelarasan aduan dan siasatan isu pencemaran yang diterima LUAS juga dilaksanakan dan dipantau melalui Jawatankuasa Pengurusan Aduan LUAS yang diadakan setiap bulan;

     

    • LUAS turut mengambil tindakan proaktif dengan menjalankan Kajian Kebersihan Sungai Buloh pada setiap tahun melalui kaedah pemantauan dan pensampelan di kawasan yang ditetapkan untuk mengenal pasti dan mengemaskini inventori punca pencemaran di Sungai Buloh disamping pemantauan status kualiti air di lembangan Sungai Buloh. Dapatan hasil Kajian tersebut dibentangkan dalam Mesyuarat Pelan Tindakan Sungai Buloh (PTSB) untuk tindakan agensi selanjutnya;

     

    • Dalam meningkatkan kaedah pemantauan inventori di Lembangan Sungai Buloh, telah dilaksanakan Kajian Pemetaan Dan Inventori Aktiviti Guna Tanah Di Rizab Sungai bagi Sungai Buloh, Sungai Langat Dan Sungai Selangor pada tahun 2019. Ini adalah bagi mengenal pasti aktiviti-aktiviti di sepanjang rizab sungai yang berpotensi menyebabkan pencemaran dan juga bagi tujuan kawalan aktiviti-aktiviti di rizab sungai.

     

    • Pembangunan Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) Sungai Buloh pada tahun 2021 oleh JPS dengan kerjasama LUAS dan agensi berkaitan turut mengambil kira pelbagai aspek kuantiti dan kualiti air di Lembangan Sungai Buloh juga dalam peringkat pelaksanaan;

     

    • LUAS juga menjalinkan kerjasama dengan pensyarah UiTM tentang kajian yang dijalankan berkaitan kerang di Sungai Buloh iaitu Kajian Polybrominated Diphenyl Ethers (Pbdes) Traces And Bioaccumulation Mechanistic In Blood Cockle (Anadara Granosa) Using Np Modelling Approaches. Walau bagaimanapun Kajian tersebut masih dalam tindakan; dan

     

    • LUAS pada masa ini sedang di dalam peringkat penyediaan akhir Peraturan bagi melaksanakan Polisi Pelepasan Sifar/Zero Discharge Policy dan Polluters Pay Principle (PPPs). Gerak kerja pelaksanaan polisi ini juga akan membantu bagi pelaksanan pengurusan kawalan Jumlah Beban Harian Maksimum/Total Maximum Daily Load(TMDL) sebagai strategi meningkatkan kualiti air sungai-sungai di Negeri Selangor termasuk Sungai Buloh di masa depan.
  2. Apakah punca pencemaran tersebut?

    Diantara punca pencemaran yang berpotensi berdasarkan Kajian Inventori yang dijalankan pihak LUAS, antara faktor permasalahan kualiti air adalah berikutan pembangunan industri dan komersil yang pesat di kawasan Lembangan Sungai Buloh yang melibatkan pelepasan efluen dari premis jentera berat, premis kitar semula, premis pemprosesan makanan dan juga bengkel-bengkel di Kawasan Kampung Baru Sungai Buloh. Selain dari itu, terdapat juga potensi punca-punca pencemaran lain di sepanjang jajaran Sungai Buloh seperti tapak pembuangan sisa pepejal di Alam Perdana Kuala Selangor, aktiviti komersil di Bandar Seri Coalfields dan Desa Coalfields. Isu-isu berkaitan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran dan permasalahan kualiti air telah diselaraskan dan dipanjangkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan dan turut dibincangkan dalam Mesyuarat Pelan Tindakan Sungai Buloh yang diurusetiakan pihak LUAS.

Lampiran

Tiada Lampiran.