Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
144) PENCEMARAN SUNGAI BATANG KALI
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Harumaini Bin Haji Omar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sungai Batang kali adalah salah satu daya tarikan pelancong ini kerana laluannya 20KM daripada Genting Highland. Apakah rancangan kerajaan dalam memastikan Sungai Batang Kali yang tercemar akibat aktiviti penorakaan secara haram sentiasa dilindungi kelestrian ekosistemnya?
Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri bagi memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan. Pelbagai usaha telah diambil untuk mengimbangkan pembangunan yang pesat dan penjagaan sumber air. Sungai Batang Kali merupakan antara sungai yang mempunyai kualiti air yang baik dan juga menjadi tumpuan aktiviti eko pelancongan.
Walau bagaimanapun, sub lembangan Sungai Batang Kali juga terdedah kepada aktiviti pembangunan seperti pembukaan tanah bagi tujuan aktiviti pertanian yang berisiko menyebabkan peningkatan kekeruhan kepada Sungai Batang Kali jika tiada langkah kawalan pencemaran yang mampan dilaksanakan di tapak. Walau bagaimanapun pelesenan aktiviti kerja tanah bagi tujuan pembangunan di bawah Peraturan-peraturan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar (Selangor) 2012 oleh LUAS adalah terhad kurang daripada 50 hektar sahaja.
Maka usaha-usaha tindakan pemantauan dan penguatkuasaan bersepadu dilaksanakan Kerajaan Negeri melalui LUAS akan terus diperkukuhkan dalam memastikan Sungai Batang Kali terus terpelihara selaras dengan pelaksanaan Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM Sungai Selangor) Polisi 1 : Memastikan Air Mencukupi dan Polisi 2 : Memastikan Air Bersih adalah seperti berikut:
- Pemantauan statik dan rondaan Skuad Pantas LUAS yang beroperasi 24 jam di kawasan strategik sumber air di Lembangan Sg. Selangor bagi mengawal dan menangani pencemaran yang berisiko kepada henti tugas muka sauk Loji Rawatan Air;
- Pembangunan stesen telemetri kualiti air bagi tujuan sistem amaran awal/ early warning system di hulu muka sauk termasuk penggunaan drone bagi tujuan pemantauan aktiviti di sepanjang rizab sungai dan kawasan berisiko;dan
- Tindakan pemantauan bersepadu bersama Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor melalui platform Ops Sumber Air Negeri Selangor bagi memastikan sumber air di kawasan tadahannya terpelihara daripada aspek kualiti dan kuantitinya.
- Penguatkuasaan bersepadu dan tindakan perundangan tegas turut sentiasa dilaksanakan antaranya siasatan, notis dan pengeluaran kompaun termasuk pendakwaan di mahkamah.
Selaras dengan itu, siasatan LUAS pada 19 Oktober 2021 menggunakan drone lanjutan daripada isu kekeruhan di Sungai Remok yang merupakan anak Sungai Batang Kali mendapati terdapat kawasan kerja tanah bagi tujuan pertanian berskala besar di hulu Sungai Remok yang telah membuat pelepasan bahan pencemar (kekeruhan) mengalir ke Sungai Remok. LUAS telah mengeluarkan Perintah Perlindungan Air merujuk seksyen 122(1) Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 kepada pemlilik tanah supaya serta-merta menghentikan serta merta pelepasan bahan pencemar (kekeruhan) dan menjalankan kerja-kerja mitigasi dan kawalan sedimen dan kelodak di tapak seperti pembinaan kolam perangkap kelodak berikutan ancaman kepada pencemaran Sungai Batang Kali yang merupakan sumber bekalan air kepada Loji Rawatan Air Batang Kali di bahagian hilir. Di samping itu, tindakan pemantauan juga dilaksanakan bagi aktiviti akuakultur dan juga aktiviti inap desa di sepanjang Sg Batang Kali.
Maklumat Tambahan:
Selain itu, kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dijalankan bagi isu-isu pencemaran melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu:
- Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam;
- Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Selangor, yang dipengerusikan oleh Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan
- Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh YB. EXCO Alam Sekitar.