Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

101) PENCEMARAN SUNGAI

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan bilangan kes pencemaran sungai yang dikesan pada tahun 2024 dan bilangan kes yang dibawa ke mahkamah.

    Sepanjang tahun 2024, sebanyak enam puluh empat (64) kes pencemaran telah dikesan di mana sehingga tahun 2024, lapan belas (18) kes berkaitan pencemaran sumber air telah dikompaun dan sebanyak tiga belas (13) kes diambil tindakan pendakwaan bagi kesalahan di bawah seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999.

  2. Nyatakan bilangan sabitan dan jumlah hukuman yang berkaitan.

    Bagi tiga belas (13) kes yang dipertuduhkan di mahkamah, terdapat tujuh (7) kes telah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman denda keseluruhan berjumlah RM 72,500.00.

  3. Apakah tindakan kerajaan untuk memastikan peratus kemenangan kes meningkat?

    Bagi meningkatkan peratus kemenangan kes, tiga (3) pendekatan sedang diusahakan oleh Kerajaan Negeri melalui LUAS iaitu:

    • Menambahbaik dari sudut teknologi dengan mengenalpasti peralatan-peralatan untuk mengesan pencemaran bau agar dapat digunakan sebagai bukti dan keterangan di Mahkamah;
    • Mengenalpasti metodologi dan proses kerja terkini dalam mengesan pencemaran sumber air berdasarkan pendekatan-pendekatan yang digunapakai di negara-negara maju; dan
    • Meningkatkan kemahiran tenaga kerja LUAS dengan memberikan latihan dalam menjalankan siasatan dan pengumpulan bukti-bukti serta keterangan berkenaan kesalahan pencemaran sumber air.