Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
113) PENCEMARAN SUNGAI
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Lwi Kian Keong
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri melakukan pemeriksaan dan pemantauan ke atas kilang - kilang yang berisiko melakukan pembuangan sisa toksik ke sungai bagi mencegah pencemaran air sungai berlaku?
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor menjalankan penguatkuasaan secara berkala bagi memastikan kilang-kilang yang menjana sisa buangan terjadual (toksik) sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 sekaligus dapat mencegah berlakunya insiden pencemaran sungai. Dalam hal ini, JAS telah mensasarkan industri yang berisiko untuk dipantau yang terletak di lembangan sungai merangkumi industri-industri penyudahan logam dan sadur elektrik, kertas, pengilangan logam, plastik, galian bukan logam, penapisan minyak makan, makanan dan minuman, industri kimia, berasaskan getah dan penapisan petroleum. Kesemua industri ini turut dipantau secara atas talian (online) melalui sistem penjejakan buangan terjadual yang dikenali sebagai “E-SWIS” di mana pihak industri hendaklah melaporkan kuantiti buangan terjadual yang dihasilkan dan dilupuskan di Premis Yang Dilesenkan oleh JAS. Ini dapat mengelakkan insiden pembuangan sisa toksik secara haram di tempat-tempat yang tidak sepatutnya seperti ke dalam sungai dan atas tanah.
-
Nyatakan operasi bersepadu yang melibatkan Jabatan Alam Sekitar bersama agensi - agensi lain yang terlibat.
Selain daripada pemantauan secara berkala, JAS turut menjalankan operasi secara bersepadu bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), PDRM, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta agensi kerajaan lain yang berkaitan melalui operasi khas, antaranya seperti berikut:
- Operasi Gempur;
- Operasi Barang Lusuh;
- Operasi Tapak Pelupusan Sampah Haram;
- Operasi Kilang Tanpa Kebenaran (KTK); dan
- Operasi Sumber Air.