Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

107) PENCEMARAN SUNGAI

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan indeks kualiti air seperti yang dikelaskan oleh Jabatan Alam Sekitar untuk sungai-sungai di Negeri Selangor bagi tahun 2018 sehingga 2023.

    Kualiti air sungai di negeri Selangor dinilai berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan dan diterjemahkan dalam bentuk Indeks Kualiti Air (IKA) bagi memberi bacaan yang mengkategorikan sungai-sungai dalam kelas-kelas tersendiri dan menerangkan tahap kegunaan berfaedah (beneficial use). Pengiraan IKA akan menghasilkan nilai skor dari 0 hingga 100. Berdasarkan nilai ini, status kualiti air sungai akan dikategorikan sebagai bersih, sederhana tercemar dan tercemar.

    Kategori Sungai Skor IKA

     

    Bersih 81 hingga 100
    Sederhana Tercemar 60 hingga 80
    Tercemar 0 hingga 59

    Sepanjang tahun 2018 hingga tahun 2022, didapati sebanyak lima (5) lembangan sungai iaitu Sungai Selangor, Sungai Langat, Sungai Tengi, Sungai Sepang dan Sungai Bernam dikategorikan sebagai bersih. Lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat adalah lembangan sungai utama yang membekalkan lebih 90 peratus sumber bekalan air kepada penduduk Selangor dan Lembah Klang serta Putrajaya.  Selain itu, satu (1) lembangan sungai iaitu Sungai Klang dikategorikan sebagai sederhana tercemar dengan IKA antara 64 dan 77. Hanya satu (1) lembangan sungai iaitu Sungai Buloh yang mencatatkan status kualiti air sungai yang tercemar dengan nilai IKA antara 51 dan 54.

  2. Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk melestarikan sungai-sungai di Negeri Selangor terutamanya Sungai Klang?

    Lembangan Sungai Klang merupakan lembangan ke empat (4) terbesar selepas Lembangan Sungai Selangor, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Bernam. Jajaran Sungai Klang adalah lebih kurang 120 km iaitu 80 km di dalam Negeri Selangor dan 40 km di dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Anggaran keluasan keseluruhan Lembangan Sungai Klang meliputi 1,290 km persegi dan tiga belas (13) anak-anak sungai utama di dalam Lembangan Sungai Klang.

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sentiasa menjalankan pemantauan secara bersepadu bersama pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Daerah dan Tanah dalam memastikan persekitaran sumber air terpelihara dari ancaman pencemaran.

    Selaras dengan itu bagi memastikan sumber air terpelihara, inisiatif pihak LUAS dalam memperkasakan tindakan pemantauan dan juga kawalan punca pencemaran di Lembangan Sg Klang adalah seperti berikut:

    i. Inisiatif Kerajaan Negeri melalui Selangor Maritime Gateway (SMG) di Sungai Klang dengan LUAS menjadi urusetia pelaksanaan Jawatankuasa Kecil Air Bagi Pembangunan Projek Selangor Maritime Gateway (SMG). Salah satu objektifnya bertujuan meminimakan jumlah sisa pepejal ke muara sungai dengan pemasangan dua(2) buah interceptor di Sg Klang oleh pihak Landasan Lumayan Sdn Bhd . Bagi menambah keberkesanan menangani isu sisa pepejal di Sg Klang ini SMG telah memasang 10 buah mini log bom. Pelaksanaan inisiatif ini adalah bagi meningkatkan kualiti air dan pemantauan kualiti air dilaksanakan di Sungai Klang melalui empat (4) buah Stesen Pemantauan Kualiti Air di Sg Klang iaitu di i) Pengkalan Batu, ii) Kampung Medan, iii) Jeti Sungai Udang dan iv) Kampung Lombong.

    ii. Menjalankan Kajian Inventori Guna Tanah Di Rizab Sungai bagi sungai-sungai yang berisiko sebagai langkah pencegahan dan kawalan aktiviti-aktiviti di rizab sungai bagi tindakan pemantauan dan penguatkuasaan bersepadu;

    iii. Melaksanakan pemantauan di Lembangan Sg Klang bagi memastikan sumber air terpelihara dengan melaksanakan langkah-langkah kawalan dan pencegahan bagi  meminimumkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA);

    iv. Melaksanakan blok pemantauan kualiti air ataupun dikenali sebagai River Monitoring Program, RMP di sepanjang rizab sungai utama Negeri Selangor dan juga anak-anak sungai yang berisiko. Pemantauan ini berdasarkan Kajian Pemetaan Dan Inventori Aktiviti Guna Tanah Di Rizab Sungai Sembah dan Anak – Anak  Sungainya, Sungai Klang, Sungai Damansara, Sungai Semenyih, Sungai Rinching dan Sungai Beranang bagi Fasa 1 pada tahun 2017 dan seterusnya Fasa 2 bagi Sungai Buloh, Sungai Langat dan Sungai Selangor pada tahun 2021. Objektif pelaksanaan pemantauan blok adalah seperti berikut:

    a.  Memastikan kualiti air sungai berada dalam keadaan yang baik dan terpelihara;

    b.  Menentukan outfall aliran ke sungai untuk tujuan verifikasi kualiti air pelepasan aliran dari outfall;dan

    c.  Menyelaraskan cadangan kawalan kepada kualiti air bagi pelepasan aliran dari outfall yang melibatkan aktiviti dari kawasan pembangunan, komersil, industri dan persekitarannya untuk diambil tindakan lanjut dengan kerjasama agensi berkaitan selaras bidang kuasa;

    d. Terdapat enam (6) parameter yang diambil kira semasa pemantauan RMP iaitu:

    • Chemical Oxygen Demand (COD)
    • Ammoniakal Nitrogen (AN)
    • pH
    • Jumlah Pepejal Terampai (TSS)
    • Biochecimal Oxygen Demand (BOD)
    • Dissolved Oxygen (DO)

      v. Mempergiatkan usaha dan memperkasakan penglibatan agensi, komuniti, NGO dan pihak berkepentingan dalam aktiviti pemuliharaan sungai-sungai di Negeri Selangor. Antara program yang telah dilaksanakan adalah penubuhan Sahabat Sungai atau dikenali Friends of River, FoR  di mana program ini meliputi seluruh kawasan sungai di Negeri Selangor yang menggalakkan penglibatan komuniti setempat memelihara dan memulihara sungai/ sumber air di kawasan masing-masing; dan

      v.  Sebagai salah satu langkah jangka masa panjang terhadap isu pencemaran adalah pengawalan pencemaran daripada punca (control at source) iaitu kawalan pelepasan efluen daripada aktiviti premis. Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS sedang menggerakkan inisiatif dasar Polluters Pay Principle (PPP) dan Zero Discharge Policy (ZDP). Polisi ini adalah pendekatan untuk meningkatkan kebertanggungjawaban sektor pembangunan dan ekonomi terhadap sumber air dan alam sekitar. Pelaksanaan kedua-dua polisi ini dilihat mampu untuk meningkatkan kualiti air sungai dan ekosistem persekitarannya  dan seterusnya mengurangkan impak negatif daripada sektor ekonomi dan menggalakkan amalan pengurusan terbaik (Best Management Practices, BMPs) atau teknologi hijau/green technology seperti kitar semula pelepasan efluen oleh sektor ekonomi.

    Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri bagi memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan. Pelbagai usaha akan terus dilaksanakan bagi mengimbangkan pembangunan yang pesat dan penjagaan sumber air.

Lampiran

Tiada Lampiran.