Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

106) PENCEMARAN SUNGAI

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Ean Yong Hian Wah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pelan tindakan jangka masa pendek dan panjang supaya pencemaran sungai akan terkawal?

    Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri bagi memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan. Pelbagai usaha akan terus dilaksanakan bagi mengimbangkan pembangunan yang pesat dan penjagaan sumber air. Selaras dengan itu bagi memastikan sumber air terpelihara, Kerajaan Negeri melalui inisiatif pihak LUAS sentiasa memperkasakan tindakan pemantauan dan juga kawalan punca pencemaran yang menyebabkan permasalahan kualiti air melibatkan Pelan Tindakan Jangka Pendek dan Pealan Tindakan Jangka Panjang seperti berikut:

    Pelan Tindakan Jangka Pendek

    1. Menjalankan Kajian Inventori Guna Tanah Di Rizab Sungai bagi sungai-sungai yang berisiko sebagai langkah pencegahan dan kawalan aktiviti-aktiviti di rizab sungai bagi tindakan pemantauan dan penguatkuasaan bersepadu;
    2. Melaksanakan pemantauan dan pengawasan menggunakan perkhidmatan dron berteknologi tinggi bagi membantu mendapatkan maklumat terperinci di lokasi pencemaran samada waktu siang atau malam di kawasan berisiko tinggi;
    3. Melaksanakan pemantauan 24 jam oleh Skuad Pantas LUAS di lembangan sungai strategik bagi memastikan sumber air terpelihara dengan melaksanakan langkah-langkah kawalan dan pencegahan bagi meminimumkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA); dan
    4. Melaksanakan pemasangan stesen telemetri kualiti air di hulu muka sauk sebagai sistem amaran awal/ early warning system bagi meminimumkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA).
    5. Melaksanakan kawalan aspek kuantiti dan kualiti sumber air selaras Enakmen LUAS 1999 melalui aktiviti pelesenan yang dijalankan berdasarkan Peraturan berkuatkuasa seperti berikut:
      i. Peraturan Lembaga Urus Air Selangor (Pelesenan) 2012;
      ii. Peraturan-Peraturan Abstraksi Sumber Air 2012;
      iii. Peraturan-Peraturan Kemasukan Atau Pelepasan Pencemar 2012; dan
      iv. Peraturan-Peraturan Aktiviti Pengubahan Sumber (Selangor) 2013.

    Pelan Tindakan Jangka Panjang

    1. LUAS melaksanakan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) Sg Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang dengan memastikan kawalan pembangunan dari aspek kuantiti dan kualiti air dan persekitarannya bagi tujuan perlindungan sumber air secara holistik;
    2. Kerajaan Negeri melalui LUAS juga telah meluluskan pelaksanaan Pelan Tindakan Bersepadu Menangani Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor melalui keputusan MMKN ke 29/2019 yang diadakan pada 9 Oktober 2019 dan telah disahkan oleh MMKN ke 30/2019 pada Oktober 2019 bagi menangani insiden pencemaran terutama yang melibatkan kesan kepada muka sauk bekalan air. Ini adalah bagi tujuan menambah baik kawalan dan pencegahan pencemaran dengan melibatkan agensi-agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.;
    3. LUAS juga telah membangunkan Kajian Road Map Pemuliharaan Dan Pembangunan Sungai-Sungai Negeri Selangor dan pelaksanaan Pelan Tindakan Pemuliharaan Dan Pembangunan Sungai-Sungai Negeri Selangor melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pelan Tindakan Pemuliharaan Sungai Negeri Selangor. Cadangan Pelan Tindakan ini telah dilbentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Pemuliharaan Sungai-Sungai Di Negeri Selangor Bil1.2022 yang dipengerusikan YB EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam. Ia melibatkan Strategi Pembangunan Fizikal Sungai, Strategi Meningkatkan Kebersihan Rizab Sungai dan Kualiti Air Sungai dan Strategi Meningkatkan Kesedaraan Awam dan Penglibatan Pihak Berkepentingan. Kini, Pelan Tindakan ini dalam peringkat pelaksanaan dengan kerjasama agensi dan pihak ber berkaitan; dan
    4. Sebagai salah satu langkah jangka masa panjang terhadap isu pencemaran adalah pengawalan pencemaran daripada punca (control at source) iaitu kawalan pelepasan efluen daripada aktiviti premis. Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS sedang menggerakkan inisiatif dasar Polluters Pay Principle (PPP) dan Zero Discharge Policy (ZDP). Polisi ini adalah pendekatan untuk meningkatkan kebertanggungjawaban sektor pembangunan dan ekonomi terhadap sumber air dan alam sekitar. Pelaksanaan kedua-dua polisi ini dilihat mampu untuk meningkatkan kualiti air sungai dan ekosistem persekitarannya.
  2. Sumbangan utama pencemaran di sungai adalah terdiri daripada sampah, air buangan kilang dan air sisa. Apakah pelan Kerajaan Negeri untuk mengatasi isu ini?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sentiasa menjalankan pemantauan secara bersepadu bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah dalam memastikan persekitaran sumber air terpelihara dari ancaman pencemaran. Selaras dengan itu, beberapa faktor punca pencemaran seperti isu sampah, isu air buangan dan air sisa diuruskan mengikut bidang kuasa agensi masing-masing seperti berikut:

    ISU SAMPAH

    Semua sampah dan sisa domestik hendaklah dibuang dan diuruskan oleh pengurusan PBT. Sebarang pembuangan sampah tanpa kebenaran (illegal dumping) di rizab sungai adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 69 dan Seksyen 70, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

    Kawalan dan pembersihan sampah di dalam sungai dilaksanakan melalui pemasangan logboom dan interceptor dan dikutip juga diselenggara secara berkala oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan untuk Sungai Klang melalui inisiatif projek Selangor Maritime Gateway (SMG) oleh Landasan Lumayan Sdn Bhd. Galakan bagi pengasingan dan kitar semula sampah juga dapat menjana ekonomi dengan produk hiliran ke arah circular economy.

    ISU AIR BUANGAN KILANG DAN AIR SISA.

    Sebarang pelanggaran dan kesalahan berkaitan pencemaran yang melibatkan air buangan kilang dan air sisa akan diambil tindakan oleh Jabatan Alam Sekitar melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

    LUAS juga boleh mengambil tindakan perundangan bagi kesalahan pencemaran sumber air melalui Seksyen 79, Enakmen LUAS (Pindaan) 2020 dengan denda minimum RM 200 ribu sehingga maksimum RM 1 juta dan penjara minimum 3 tahun.

    Sebagai salah satu langkah jangka masa panjang terhadap isu pencemaran adalah pengawalan pencemaran daripada punca (control at source)  iaitu kawalan pelepasan efluen daripada aktiviti premis. Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS sedang menggerakkan inisiatif dasar Polluters Pay Principle (PPP) dan Zero Discharge Policy (ZDP). Polisi ini adalah pendekatan untuk meningkatkan kebertanggungjawaban sektor pembangunan dan ekonomi terhadap sumber air dan alam sekitar. Pelaksanaan kedua-dua polisi ini dilihat mampu untuk meningkatkan kualiti air sungai dan ekosistem persekitarannya  dan seterusnya mengurangkan impak negatif daripada sektor ekonomi dan menggalakkan amalan pengurusan terbaik (Best Management Practices, BMPs) atau teknologi hijau/green technology seperti kitar semula pelepasan efluen oleh sektor ekonomi.

    MAKLUMAT TAMBAHAN

    Selain itu, pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dijalankan bagi isu-isu pencemaran melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu:

    1. Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam;
    2. Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Selangor yang dipengerusikan oleh Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan
    3. Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Alam Sekitar.

Lampiran

Tiada Lampiran.