Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

139) PENCEMARAN SUNGAI

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah ada usaha untuk mempertingkatkan hukuman dan denda kepada mereka yang melakukan pencemaran sungai di Negeri Selangor?

    Salah satu usaha untuk meningkatkan hukuman dan denda kepada pesalah kes pencemaran sungai adalah dengan meminda seksyen 79 Enakmen LUAS 1999 yang berkaitan dengan larangan pencemaran sesuatu sumber air.

    Pindaan ini telah diwartakan dan berkuatkuasa pada 10 Disember 2020 yang bertujuan untuk menjadikan larangan pencemaran sesuatu sumber air akan turut terpakai kepada pelakuan menyebabkan kemasukan atau melepaskan apa-apa bahan yang mengubah bau, warna dan rasa sumber air tersebut samada secara keseluruhan atau sebahagian daripadanya.

    Pindaan terhadap seksyen 79 tersebut turut dibuat untuk menaikkan jumlah denda daripada seratus ribu ringgit sebagaimana yang dinyatakan dalam subseksyen 79(4) kepada denda minimum dua ratus ribu ringgit dan denda maksimum tidak melebihi satu juta ringgit.

    Seterusnya seksyen 79 tersebut dipinda dengan memasukkan subseksyen baharu iaitu subseskyen 79(5) sebagai hukuman tambahan iaitu mana-mana orang yang disabitkan hendaklah membayar kepada LUAS semua perbelanjaan yang dilakukan untuk membaiki atau memulihkan apa-apa pencemaran oleh sebab kesalahan yang dilakukan di bawah seksyen 79 tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.