Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
99) PENCEMARAN SUNGAI
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Ronnie Liu Tian Khiew
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan jangka panjang Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah sungai yang tercemar ekoran industri-industri disepanjang sungai?
Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri bagi memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan. Pelbagai usaha telah diambil untuk mengimbangkan pembangunan yang pesat dan penjagaan sumber air.
Perancangan jangka panjang Kerajaan Negeri melalui LUAS bagi mengatasi masalah pencemaran sungai tidak terhad daripada aktiviti industri di sepanjang sungai adalah dengan mengambil kira semua potensi punca pencemaran dengan meningkatkan kaedah pemantauan dan juga pencegahan seperti berikut:
- Pemantauan statik dan rondaan Skuad Pantas LUAS yang beroperasi 24 jam di kawasan strategik sumber air di Lembangan Sungai Selangor dan Lembangan Sungai Langat termasuk Sungai Semenyih bagi pengawalan dan pengawasan insiden pencemaran sumber air yang berisiko henti tugas Loji Rawatan Air (LRA);
- Pembangunan stesen telemetri kualiti air bagi tujuan sistem amaran awal/ early warning system di hulu muka sauk yang berisiko di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih termasuk penggunaan drone bagi tujuan pemantauan aktiviti di sepanjang rizab sungai dan kawasan berisiko;
- Pemantauan berkala juga terus dilaksanakan oleh LUAS bersama agensi berkaitan melalui platform Ops Sumber Air Negeri Selangor bagi memastikan sumber air di kawasan tadahannya terpelihara daripada aspek kualiti dan kuantitinya;
- Penguatkuasaan bersepadu dan tindakan perundangan tegas dilaksanakan antaranya siasatan, notis dan pengeluaran kompaun termasuk pendakwaan di mahkamah selaras Enakmen LUAS (Pindaan) 2020;
- Pelaksanan Polluters Pay Principle(PPP) melalui Peraturan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar (Selangor) 2012 oleh LUAS di mana kini dalam peringkat pindaan Peraturan bagi merangkumi semua pelepasan efluen ke sumber air tertakluk kesesuaian dengan had parameter yang ditetapkan;
- Pelaksanaan Polisi Pelepasan Sifar dengan menggalakkan amalan efisien seperti kitar semula efluen bagi meminimakan beban pencemaran ke sungai selaras dengan cadangan pelaksanaan kawalan Jumlah Beban Harian Maksimum (Total Maximum Daily Load, TMDL) dan juga pelaksanaan caj pemulangan air selaras seksyen 44(1)(b), Enakmen LUAS 1999; dan
- Memperkasakan pihak berkepentingan seperti komuniti setempat berhampiran sungai dalam penjagaan dan pemuliharaan sumber air dengan pendekatan Friends of River (FoR).
Selain itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa komited dalam memastikan semua industri yang melepaskan efluen supaya sentiasa mematuhi tahap piawai seperti yang ditetapkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 serta Peraturan-Peraturan di bawahnya. Susulan kes pencemaran sungai yang berlaku disebabkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, JAS telah meningkatkan penguatkuasaan termasuklah Operasi khas yang dilaksanakan pada setiap bulan, rondaan penguatkuasaan pada hujung minggu dan cuti umum sebagai tambahan kepada program penguatkuasaan tahunan yang dirancang pada setiap tahun. Jumlah penguatkuasaan juga telah ditingkatkan hampir dua kali ganda dengan jumlah kekuatan pasukan penguakuasaan yang sedia ada. Pada tahun 2020, jumlah penguatkuasaan di lapangan ke atas industri di Negeri Selangor adalah sebanyak 2009 berbanding 1441 pada tahun 2019, dengan peratus pematuhan melebihi 97 peratus. Selain dari itu, penguatkuasaan secara bersepadu turut dijalankan bersama seluruh agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor.
TAHUN PENGKUATKUASAAN DI LAPANGAN 2019 1441 2020 2009 Bagi perancangan jangkamasa panjang pula, JAS sedang menambahbaik perundangan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi memenuhi keperluan dan kehendak semasa. Penetapan tahap piawai yang lebih ketat terutamanya bagi industri yang terletak di hulu loji rawatan air adalah elemen perundangan yang diambilkira oleh JAS. Dalam hal ini, pihak industri dikehendaki supaya mempunyai perancangan polisi ke arah “beyond compliance” melalui pendekatan seperti berikut:
- “Waste Minimisation” yang menggalakkan konsep kitaran ekonomi (secular economy);
- Pelepasan sifar (zero discharge); dan
- “Polluters Pay Principle”.
Draf pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang kini sedang dalam semakan JAS juga akan menerapkan elemen Jumlah Maksimum Beban Harian (TMDL- Total Maximum Daily Load). TMDL adalah merupakan salah satu langkah halatuju (way forward) JAS ke arah memastikan kualiti air sungai dapat terus terpelihara. Pendekatan baru ini mengambilkira semua punca pencemaran yang menyumbang kepada kemasukan bahan pencemar ke dalam sungai sama ada dari punca tetap dan punca tidak tetap, yang mana memerlukan penglibatan dan kawalan bidang kuasa pelbagai agensi kerajaan. Menerusi kawalan ke atas beban pencemaran efluen dan air buangan ke atas setiap punca, ianya dapat meramal impak kumulatif dan seterusnya langkah-langkah kawalan dan mitigasi dapat diambil bagi memulihara daya tampung sungai dalam mencapai sasaran kualiti air yang telah ditetapkan.
Hukuman yang lebih deterrent dan tegas ke atas pihak pencemar juga turut ditimbang dalam pindaan Akta ini. Antara hukuman yang dicadangkan adalah untuk mengenakan hukuman penjara (mandatori) serta menaikkan jumlah denda yang lebih tinggi iaitu dari RM 100,000 (Seratus Ribu Ringgit) kepada RM 1 Juta bagi kesalahan yang menyebabkan pencemaran sungai.
Selain daripada strategi penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang ke atas pihak industri, JAS juga turut berusaha meningkatkan tahap kesedaran orang ramai melalui program komunikasi, pendidikan, promosi dan kesedaran (CEPA). Antara program kesedaran yang berkaitan adalah seperti Rakan Alam Sekitar yang membantu secara hands on dengan menjadi ‘mata dan telinga’ Jabatan dalam membanteras kegiatan mencemar alam sekitar terutamanya dalam kes pencemaran sungai. Program Denai Sungai Kebangsaan yang diwujudkan pula, antara lain bertujuan untuk menimbulkan rasa ‘persepsi tertangkap’ ke atas kalangan pesalah alam sekitar dan dalam pada masa yang sama bagi mengawal pencemaran dan menjamin kelestarian sungai.
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri melalui LUAS menaik taraf sungai supaya ianya menjadi sumber pendapatan rakyat seperti pelancongan agro, rekreasi, tanaman dan perikanan?
Pengurusan, perancangan dan kawalan aktiviti di sumber air oleh Kerajaan Negeri melalui LUAS termasuk kawasan rizab sungai hendaklah selaras dengan Enakmen LUAS (Pindaan) 2020 dan juga pelaksanaan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (Integrated River Basin Management, IRBM) merangkumi aspek kuantiti dan kualiti.
Walau bagaimanapun di pihak LUAS adalah berfungsi untuk menjalankan pengawalseliaan sumber air dan juga kawalan bagi aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan di sungai dan rizabnya yang mengkehendaki Kebenaran Bertulis LUAS selaras Peraturan-peraturan Aktiviti Pengubahan Sumber (Selangor) 2013. Dalam hubungan ini, bagi melengkapi pengurusan sumber air pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf sungai telah dijalankan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor.
Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui LUAS juga menggalakkan penglibatan komuniti setempat dalam penjagaan dan pemuliharaan sungai berhampiran yang sekaligus akan memberi manfaat secara langsung samada bagi tujuan riadah atau rekreasi.
Maklumat Tambahan
Inisiatif dan perancangan Kerajaan Negeri juga telah dimulakan dengan pelaksanaan Pemuliharaan dan Pembangunan Sungai Klang melalui projek Selangor Maritime Gateway (SMG) yang mana merangkumi komponen pembersihan dan juga peningkatan kualiti air serta pembangunan termasuk naik taraf kawasan rizab sungai selaras dengan Garis panduan yang akan ditetapkan. Ini sekaligus akan memberi nilai tambah ekonomi samada daripada sektor eko-pelancongan, urban farming dan rekreasi di masa depan.