Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

206) PENCEMARAN PREMIS PENTERNAKAN

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan penguatkuasaan terhadap premis penternakan yang melanggar peraturan kebersihan?

    Di bawah Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2007 (EPUNS2007), Seksyen 16, adalah menjadi kesalahan bagi pemegang lesen (penternak) sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja melepaskan sisa unggas atau kumbahan sisa unggas ke dalam sungai, anak sungai, parit, air darat, saluran pengairan atau mana-mana tempat yang tidak diwartakan sebagai kawasan pembuangan sisa.  Di bawah Seksyen 17 pula, seseorang pemegang lesen (penternak) hendaklah mengambil apa-apa langkah untuk tidak melepaskan atau mengeluarkan bau busuk atau tidak enak atau debu dari ladang.

    Mengikut enakmen ini, susunan tindakan-tindakan penguatkuasaan terhadap premis penternakan yang melanggar peraturan kebersihan adalah seperti berikut:

    1. Terima dan rekodkan aduan;
    2. Pastikan kesahihan aduan;
    3. Tetapkan tarikh dan lakukan siasatan bersama agensi lain (jika perlu);
    4. Ambil tindakan sekiranya penternak melanggar peraturan:
    • Surat amaran
    • Kompaun
    • Tindakan mahkamah
    • Tidak diluluskan atau batal lesen tahunan
      5.  Sediakan dan failkan laporan hasil siasatan; dan
      6. Jawab aduan pengadu secara bertulis.

     

  2. Bagaimana agensi berkaitan bekerjasama menangani isu pencemaran daripada premis penternakan?

    Pelbagai jabatan dan agensi memang diminta melaksanakan operasi bersepadu bagi menangani isu pencemaran daripada premis penternakan.  Daam operasi bersepadu ini, jabatan dan agensi berkaitan akan bekerjasama dengan menggunakan undang-undang sedia ada yang boleh dikenakan ke atas premis penternakan yang tidak bertanggungjawab.  Sebagai contoh, Pihak Berkuasa Tempatan melalui Akta 171 (sekiranya tiada kebenaran merancang), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) menggunakan Kanun Tanah Negara (sekiranya pelanggaran syarat nyata tanah), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menerusi Enakmen Perladangan Unggas dan Enakmen Pengawalan Penternakan Babi (sekiranya berpunca daripada jenis ternakan ini), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melalui Enakmen LUAS 1999 (sekiranya mencemarkan saliran awam) dan beberapa agensi lain yang mempunyai undang-undang yang sesuai.

     

  3. Bagaimana kerajaan mengurus komunikasi dengan penduduk yang terjejas dengan masalah ini?

    Penduduk yang terjejas dengan masalah ini boleh mengemukakan aduan rasmi ke Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) Pentadbiran Setiausaha Negeri Selangor.  Selain itu, orang ramai juga boleh membuat aduan melalui Ahli Dewan Negeri Selangor (ADNS) kawasan masing-masing dan/atau terus kepada jabatan/agensi kerajaan berkaitan yang terdekat.  Kerajaan Negeri juga pernah menganjurkan sesi-sesi libat urus yang turut dihadiri EXCO, wakil rakyat, jabatan/agensi kerajaan yang berkaitan, para penduduk dan golongan penternak berkenaan sekiranya terbukti gejala yang dihadapi sangat kritikal.  Hari Bertemu Pelanggan dan “Town Hall Meeting” juga memberi peluang kepada rakyat untuk menyuarakan masalah yang mereka hadapi.

Lampiran

Tiada Lampiran.