Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
01 November 2019 hingga 13 November 2019
129) PENCEMARAN BEKALAN AIR
Tahun: 2019
Sesi: 3
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan punca dan kawasan yang berlaku pencemaran air yang menjejaskan bekalan air sejak tahun 2008.
Bermula dari tahun 2008 sehingga tahun 2019, insiden pencemaran air mentah telah menyebabkan loji rawatan air di Selangor terpaksa dihentitugas sebanyak 744 kali dan telah menjejaskan penyaluran bekalan air terawat kepada pengguna.
Punca pencemaran air adalah disebabkan oleh perkara – perkara berikut:
- Tumpahan minyak dan diesel (35 kes)
- Perlepasan effluen dari kilang-kilang, kawasan perindustrian dan loji kumbahan yang memasuki sumber air mentah (51 kes)
- Kehadiran ammonia dan mangenese yang tinggi di dalam air mentah (19 kes)
- Peningkatan kekeruhan air mentah semasa hujan lebat disebabkan kerja-kerja tanah yang tidak terkawal (599 kes)
- Lain – lain punca pencemaran seperti bahan terapung, pH tinggi dsb (40 kes)
Kawasan pencemaran yang berlaku adalah di Kawasan hulu sungai dan sumber air mentah sebelum mukasauk loji iaitu di Sungai Selangor, Sungai Langat, Sungai Semenyih, Sungai Selisek, Ampang Intake, Sungai Bernam dan Sungai Gombak.
-
Apakah langkah kerajaan untuk memastikan gangguan air disebabkan pencemaran sumber air mentah dapat dikurangkan?
Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri bagi memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan. Pelbagai usaha telah diambil untuk mengimbangkan pembangunan yang pesat dan penjagaan sumber air.
Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mewartakan semua 7 empangan di Negeri Selangor di bawah Seksyen 48, Enakmen LUAS 1999. Selain itu, sejumlah 413 (40%) daripada jumlah keseluruhan 1026 batang sungai kini turut telah melalui proses pewartaan di bawah peruntukan yang sama. Tujuan pewartaan ini adalah untuk melindungi sungai dan rizab sungai daripada gangguan kepada kuantiti, kualiti dan persekitarannya.
Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui LUAS dan Pengurusan Air Selangor juga telah membangunkan beberapa stesen telemetri kualiti air di hulu dari muka sauk sebagai system amaran awal early warning system kepada muka sauk bekalan air jika berlakunya pencemaran di hulu.
Kerajaan Negeri melalui LUAS telah menubuhkan Jawatankuasa Pemuliharaan Sungai-sungai Negeri Selangor yang dipengerusikan YB EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awan bagi mempergiatkan usaha dan menggalakkan penglibatan agensi, komuniti, NGO dan pihak berkepentingan dalam aktiviti pemuliharaan sungai-sungai di Negeri Selangor.
Pemantauan berkala dilaksanakan oleh Lembaga bersama agensi berkaitan bagi memastikan sumber air dan kawasan tadahannya terpelihara daripada aspek kualiti dan kuantitinya.
Penguatkuasaan bersepadu dan tindakan perundangan tegas turut sentiasa dilaksanakan antaranya siasatan, notis dan pengeluaran kompaun termasuk pendakwaan di mahkamah.
Maklumat tambahan:
Selain itu, kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dijalankan bagi isu-isu pencemaran lain melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan oleh:
- Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam;
- Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Selangor, yang dipengerusikan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan
Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam.