Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

64) PENCEMARAN BAU DI SUMBER AIR MENTAH SUNGAI SEMENYIH

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah sebab-sebab berlaku pencemaran bau di tempat sumber air mentah di sungai Semenyih?

    Pada 28 September 2019 yang lalu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah menerima laporan dari pihak Pengurusan Air Selangor bahawa bau seakan pelarut di kesan pada jam 2.31 petang dengan bau 4 ton pada jarak 1.5 km dari muka sauk Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Semenyih. Siasatan segera dilakukan di kawasan sekitar Sungai Semenyih, Sungai Beranang, kawasan perumahan bandar Bukit Mahkota dan loji IWK Bukit Mahkota. Walau bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati bau pelarut adalah berpunca dari sisa pelarut/solvent yang telah dibuang ke dalam saluran pembentung awam milik IWK oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang seterusnya masuk ke loji IWK dan aliran efluennya mengalir masuk ke Sungai Beranang dan seterusnya ke Sungai Semenyih.

  2. Apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk memulihkan pencemaran tersebut?

    Setelah menerima laporan pencemaran tersebut, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengaktifkan Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air dan menggerakkan pasukan kecemasan dengan segera. Siasatan segera dilakukan di kawasan sekitar Sungai Semenyih, Sungai Beranang, kawasan perumahan bandar Bukit Mahkota dan loji IWK Bukit Mahkota. Ini termasuklah pensampelan yang dilakukan secara in situ di tapak. Selain itu, pihak LUAS juga telah menjalankan pemantauan statik dan pensampelan turut dilakukan di efluen loji IWK Bandar Bukit Mahkota.

     

    Bagi mengurangkan bau pelarut tersebut, pihak LUAS melalui kontraktor pembersihan yang dilantik telah menjalankan pendosan activated carbon(AC) di bahagian chamber dan takat pelepasan akhir loji IWK. Sebanyak 81 beg AC telah digunakan bagi tujuan pendosan tersebut sehingga 1 Oktober 2019. Setelah bacaan di loji menunjukkan bacaan 0 ton, Loji Semenyih telah diaktifkan semula pada jam 4.30 pagi 29 September 2019. Pihak LUAS juga telah mengambil inisiatif menjalankan pemantauan statik dan pensampelan di Sungai Beranang dan Sungai Semenyih bagi memastikan sumber air bebas daripada sebarang pencemaran bau.

  3. Apakah langkah-langkah yang diambil untuk mengelakkan pencemaran berulang-ulang kali berlaku?

    *Juga menjawab pertanyaan mulut Bil.64(c), Bil.68(a), Bil.91(b), Bil.111(c), Bil.166(a), Bil.184(a), Bil.195(a), Bil.208(b), Bil.244(a), Bil.289(a) serta pertanyaan bertulis Bil.132(a)

     

    Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri bagi memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan. Pelbagai usaha telah diambil untuk mengimbangkan pembangunan yang pesat dan penjagaan sumber air.

    Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mewartakan semua 7 empangan di Negeri Selangor di bawah Seksyen 48, Enakmen LUAS 1999. Selain itu, sejumlah 413 (40%) daripada jumlah keseluruhan 1026 batang sungai kini turut telah melalui proses pewartaan di bawah peruntukan yang sama. Tujuan pewartaan ini adalah untuk melindungi sungai dan rizab sungai daripada gangguan kepada kuantiti, kualiti dan persekitarannya.

    Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui LUAS dan Pengurusan Air Selangor juga telah membangunkan beberapa stesen telemetri kualiti air di hulu dari muka sauk sebagai sistem amaran awal early warning system kepada muka sauk bekalan air jika berlakunya pencemaran di hulu.

    Kerajaan Negeri melalui LUAS telah menubuhkan Jawatankuasa Pemuliharaan Sungai-sungai Negeri Selangor yang dipengerusikan YB. EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam bagi mempergiatkan usaha dan menggalakkan penglibatan  agensi, komuniti, NGO dan pihak berkepentingan dalam aktiviti pemuliharaan sungai-sungai di Negeri Selangor.

    Pemantauan berkala dilaksanakan oleh Lembaga bersama agensi berkaitan bagi memastikan sumber air dan kawasan tadahannya terpelihara daripada aspek kualiti dan kuantitinya.

    Penguatkuasaan bersepadu dan tindakan perundangan tegas turut sentiasa dilaksanakan antaranya siasatan, notis dan pengeluaran kompaun termasuk pendakwaan di mahkamah.

    Selain itu, satu surat telah dikeluarkan oleh Pejabat YB EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna kepada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bertarikh 1 Oktober 2019 yang memberikan cadangan bagi penambahbaikan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling yang berkaitan di bawah Akta Kualiti Alam Sekliling 1974.

    Maklumat tambahan:

    Selain itu, kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dijalankan bagi isu-isu pencemaran lain melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu:

    Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam;

    Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Selangor, yang dipengerusikan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan

    Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.