Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

68) PENCEMARAN BAU DI CYBERSOUTH

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Datuk Seri Jamil Bin Salleh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berkenaan isu pencemaran bau di Bandar CyberSouth didapati ia berpunca daripada Worldwide Inert Waste Landfill. Surat tunjuk sebab sudah diberikan dari MPS. Apakah tindakan kerajaan terhadap anak syarikat negeri ini supaya kejadian pencemaran bau ini tidak berulang dan apakah puncanya?

    Pihak Worldwide Holdings Berhad (WHB) mengambil maklum berkenaan aduan pencemaran bau yang diterima di kawasan perumahan CyberSouth, Dengkil. Aduan ini turut diterima oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Sepang, yang seterusnya telah menjalankan pemeriksaan mengejut di tapak pelupusan bagi menilai keadaan sebenar di tapak tersebut.

    Sebahagian besar aduan pencemaran bau yang diterima dilaporkan berlaku pada waktu malam, iaitu antara jam 10:00 malam hingga 5:00 pagi. Untuk makluman, operasi di Dengkil Inert Waste Landfill (DIWL) hanya berjalan dari jam 8:00 pagi hingga 6:00 petang dan tiada sebarang aktiviti berlangsung pada waktu malam. Selain itu, kawalan keselamatan turut dilaksanakan sepanjang masa bagi memastikan keadaan tapak sentiasa terjaga dan selamat dan tiada pencerobohan.

    Sebagai langkah proaktif, WL Environmental Sdn Bhd (WLESB) telah menjalankan kajian kualiti udara dari 6 hingga 8 Jun 2024 serta 18 hingga 19 Disember 2024 di tiga lokasi strategik, iaitu dalam kawasan tapak, di sekitar Taman Kita Bayu, dan di sekitar Pangsapuri Kita Impian. Hasil kajian telah menunjukkan bahawa kualiti udara berada dalam keadaan baik tanpa pencemaran bau seperti yang dilaporkan.

    Berikut adalah Jadual Keputusan Kualiti Udara bagi 18 hingga 19 Disember 2024.

    Parameter Result Standard Kualiti Udara Ambien Malaysia (2020)
    A1 A2 A3
    Sulfur Dioksida

    sebagai SO2 (μg/m3)

    <0.5 <0.5 <0.5 80 µg/m3

    (Purata masa 24 jam)

    Nitrogen Dioksida

    sebagai NO2 (μg/m3)

    <0.5 <0.5 <0.5 70 µg/m3

    (Purata masa 24 jam)

    Karbon Monoksida

    sebagai CO (mg/m3)

    1.4 0.7 0.7 10 mg/m3

    (Purata masa 8 jam)

    Hidrogen Sulfida

    sebagai H2S (μg/m3)

    <10 <10 <10
    Metana

    sebagai CH4 (ppm v/v)

    <1 <1 <1
    Karbon Dioksida

    sebagai CO2 (ppm v/v)

    128 119 108
    Pengukuran Bau (ou/m3) <1000 <1000 <1000

    *Data ini diperoleh daripada Laporan Pemantauan Kualiti Udara Ambien & Pengukuran Bau bertarikh 6 Januari 2025 (No. Pendaftaran: L-KL-BQ2412CWL – 0441).

     

    Untuk makluman, Tapak DIWL ini telah beroperasi sejak tahun 2004 dengan keluasan 100 ekar bagi penerimaan sisa lengai iaitu sisa-sisa kebun, sisa-sisa daripada tapak pembinaan, sisa plastik, sisa kayu, tayar dan ceramik.  Tapak DIWL tidak menerima sisa domestik, sisa industri yang berjadual (schedule waste) dan sebarang sisa berbahaya yang berpotensi untuk mengeluarkan pencemaran bau.

    Walau bagaimanapun, pihak WHB telah menyenaraikan beberapa punca yang boleh menyebabkan pencemaran bau tersebut, antaranya ialah:-

    1. Kesan pereputan sisa lengai dan plastik yang dihantar bersama semenjak daripada 2010 pengoperasian operasi mungkin menghasilkan kesan bau setelah mengalami kesan pereputan dalam tempoh jangka waktu yang panjang.
    2. Tapak DIWL dikelilingi oleh pembangunan di mana terdapat sejumlah besar penempatan pekerja-pekerja kontrak dan pekerja warga asing yang tinggal di dalam rumah kongsi di sekitar luar tapak DIWL. Mereka juga menjalankan aktiviti pengumpulan barangan kitar semula sama ada sisa domestik mahupun sisa terlarang di tapak rumah kongsi masing-masing yang boleh menghasilkan pencemaran bau.
    3. Terdapat juga aktiviti pengumpulan sisa buangan barangan kitar semula yang dijalankan secara tidak sah di luar tapak DIWL oleh pekerja-pekerja tapak pembinaan disekeliling Kawasan tersebut.

    Justeru, pihak tapak DIWL telah mengambil langkah-langkah kawalan dengan segera yang mungkin berpunca daripada tapak DIWL bagi memastikan kesemua kemungkinan dapat dibendung, iaitu:

    1. Pihak tapak DIWL sedang menutup sisa dengan menggunakan tanah sekiranya terdapat pelepasan gas atau bendasing daripada proses pereputan sisa.
    2. Pihak WHB akan menjalankan aktiviti kitar semula sisa plastik dan sisa kayu serta sisa kebun dikitar semula dan tidak disimpan di dalam tapak yang boleh menghasilkan bau.
    3. Pihak DIWL telah mengetatkan kawalan penerimaan sisa dengan membuat pemeriksaan ke atas lori-lori yang ingin melupuskan sisa yang tidak dibenarkan dan terlarang.
    4. Kebanyakan pekerja warga asing yang mendiami rumah kongsi yang bekerja di sekitar pembangunan sekeliling perlu dipantau oleh agensi terlibat bagi memastikan mereka tidak melakukan aktiviti kitar semula dan pengumpulan barangan lusuh yang boleh menghasilkan pencemaran bau.

    Pihak kami juga sedang mengumpulkan beberapa sampel ujian kualiti udara yang dijalakan bagi mengenalpasti punca pencemaran bau tersebut.

    JABATAN ALAM SEKITAR

    Untuk makluman Yang Berhormat,

    Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengadakan mesyuarat bersama pihak operator Dengkil Inert Landfill pada 28 Januari 2025. Pihak operator telah bersetuju untuk mengambil beberapa langkah penyelesaian, antaranya adalah:

    • Tempoh Jangka Pendek
    • Mengeluarkan surat kepada Kerajaan Negeri berkaitan komitmen untuk menukar lokasi tapak pelupusan sampah semasa dengan mengambil kira kepadatan penduduk di kawasan perumahan;
    • Memberhentikan pengoperasian tapak pelupusan sampah semasa;
    • Menutup semula kawasan sedia ada dengan tanah yang lebih tebal iaitu 50 cm berbanding 30 cm bagi lokasi yang disyaki berbau dan dijangka akan siap pada 8 Februari 2025;
    • Menjalankan pemeriksaan dengan lebih ketat di laluan masuk dan menyenarai hitam lori yang disyaki membawa sampah makanan atau lain-lain; dan
    • Memberhentikan kontrak secara serta merta bagi aktiviti kutipan plastik beg jumbo putih yang dijalankan oleh pihak ketiga yang dilantik oleh premis.
    • Tempoh Jangka Panjang
    • Menjalankan kajian untuk rawatan leachate di lokasi tapak pelupusan yang disyaki menyebabkan pencemaran bau;
    • Mengkaji penggunaan atau menyediakan rawatan bagi gas metana yang terhasil dari tapak; dan
    • Mengenalpasti tapak baharu atas faktor kepadatan penduduk di kawasan tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.