Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015
125) PENCEMARAN BAU BUSUK DI JALAN PANTAI REDANG SEKINCHAN
Tahun: 2015
Sesi: 3
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sila nyatakan apakah punca sebenar masalah pencemaran bau busuk kilang memproses ikan di kawasan tersebut?
JABATAN ALAM SEKITAR NEGERI SELANGOR
Masalah pencemaran bau busuk adalah disebabkan oleh penggunaan bahan mentah yang terdiri daripada ikan busuk oleh kilang memproses baja ikan, iaitu kilang Yong Liang Fishmeal Sdn Bhd yang beralamat di No.80, Bagan Sekinchan, 45400 Sekinchan, Selangor. Premis adalah beroperasi dengan mempunyai lesen sementara dari Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dengan keterangan lesen adalah Lesen Sementara Kilang Ikan Busuk. Premis telah beroperasi sejak tahun 1984. Premis ini menjalankan aktiviti memproses ikan busuk menjadi baja ikan.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Sabak Bernam pernah menerima aduan bau busuk terhadap kilang tersebut pada 6 Ogos 2015. Aduan ini merupakan aduan yang pertama diterima sejak JAS Cawangan Sabak Bernam ditubuhkan pada tahun 2007. Hasil siasatan aduan yang telah dijalankan pada 10 Ogos 2015 mendapati keadaan bangunan premis adalah tidak tertutup sepenuhnya dan terdapat kerosakan pada alat kawalan bau yang dipasang di premis. Notis Arahan telah dikeluarkan kepada premis supaya membaiki atau menggantikan alat kawalan yang rosak tersebut dengan segera. Pihak premis telah mengambil tindakan serta merta untuk membaiki alat kawalan bau yang rosak.
Antara faktor lain yang menjadi punca aduan bau busuk adalah lokasi kawasan perumahan penduduk yang dibangunkan menghampiri dengan kawasan kilang. Pada awal premis beroperasi, kawasan premis terasing dan jauh serta tidak banyak rumah penduduk. Walau bagaimanapun, kini lebih banyak rumah penduduk yang dibina di kawasan yang berhampiran dengan premis. Jarak rumah penduduk yang paling hampir dengan premis adalah lebih kurang 10 meter sahaja.
-
Sila nyatakan apakah tindakan yang telah diambil oleh MDSB?
MAJLIS DAERAH SABAK BERNAM
Majlis Daerah akan mengeluarkan notis pemberitahuan kepada pemilik kilang berkenaan supaya mengambil segala langkah yang perlu bagi mengurangkan pencemaran bau busuk yang dikeluarkan seperti membersihkan kawasan. Sekiranya masih gagal pihak Majlis akan mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pemilik kilang berkenaan termasuk arahan penutupan operasi kilang berkenaan.
-
Sila nyatakan bagaimanakah untuk meminimakan pencemaran yang kebanyakan berpunca daripada lori yang membawa ikan busuk?
JABATAN ALAM SEKITAR NEGERI SELANGOR
Pencemaran bau busuk dari lori yang mengangkut ikan busuk adalah disebabkan oleh pengusaha lori pengangkut yang hanya menggunakan guni untuk mengangkut ikan busuk. Lori yang digunakan juga adalah tidak bertutup. Untuk meminimakan bau busuk dari lori pengangkut ikan busuk adalah disyorkan supaya pihak MDSB mengenakan syarat lesen yang tegas kepada pengusaha supaya menggunakan bekas yang bertutup dan lori yang digunakan hendaklah dilengkapi dengan takungan air untuk mengelakkan air ikan busuk tumpah ke atas jalan.