Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

22) PENCEMARAN BAU

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan maklumat terperinci aduan dan tindakan diambil terhadap pencemaran bau di kawasan Rawang.

    Berdasarkan rekod Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor, punca aduan pencemaran bau daripada kawasan Rawang adalah terdiri daripada aktiviti pembakaran terbuka, pelepasan daripada aktiviti industri dan terdapat juga bebeapa punca yang tidak dikenalpasti.  Dari Januari sehingga Oktober 2021, Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor telah merekodkan  sebanyak tiga puluh (30)  aduan berkenaan pencemaran bau di kawasan Rawang. Berdasarkan siasatan yang telah dijalankan sebanyak dua (2) Notis Arahan dan dua (2) tindakan penahanan operasi kelengkapan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang telah dikenalpasti menyebabkan pencemaran bau di kawasan Rawang.

     

    Manakala bagi industri yang tidak tertakluk dengan perundangan JAS, JAS akan bekerjasama dengan agensi lain seperti Pihak Berkuasa Tempatan yang mengeluarkan lesen operasi kilang, Pejabat Tanah Dan Daerah mengenai pematuhan syarat nyata tanah dan lain-lain Jabatan yang berkaitan bagi mengatasi isu pencemaran bau yang berlaku.

  2. Apakah cara penyelesaian untuk mengurangkan aduan pencemaran bau di kawasan Rawang?

    Bagi mengurangkan aduan berkenaan pencemaran bau, Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor telah melaksanakan program penguatkuasaan dan pemantauan yang berterusan terhadap premis-premis industri yang berpotensi menyebabkan pencemaran bau di kawasan Rawang. Selain daripada itu, Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor juga menjalankan rondaan secara berkala di luar waktu bekerja termasuk di hujung minggu di kawasan Rawang bagi mencegah aktiviti-aktiviti pencemaran termasuk pencemaran bau daripada terus berlaku.

Lampiran

Tiada Lampiran.