Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
30 Oktober 2020 - 12 November 2020
121) Pencemaran Alam Sekitar Oleh Kilang-Kilang Haram Di Telok Gong Dan Pulau Indah
Tahun: 2020
Sesi: 3
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri terhadap kilang-kilang yang mencemarkan alam sekitar seperti sungai dan laut di Telok Gong dan Pulau Indah?
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Pada bulan Julai 2020, Majlis Perbandaran Klang dengan kerjasama Polis Klang Selatan bertindak melakukan operasi dan pemeriksaan bagi mengesan aktiviti kilang plastik haram di Telok Gong. Program membabitkan kolaborasi bersama itu dilakukan susulan maklumat diperoleh berkaitan wujudnya aktiviti kilang plastik haram yang masih bersembunyi. Bantuan pihak polis dari sudut keselamatan ketika pemeriksaan ke atas kilang plastik tanpa lesen ini berjaya memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.
Sebanyak tiga kilang plastik diambil tindakan dalam operasi itu. Tindakan diambil mengikut Undang-undang Kecil Tred, Industri dan Perniagaan MPK 2007, Akta Perancang Bandar 176 dan Borang 7a Perlanggaran Syarat Tanah Seksyen 127 Kanun Tanah Negara.
Dalam operasi sebelum ini, beberapa kilang plastik haram turut diperiksa dan disita selepas didapati melakukan operasi secara sembunyi pada lewat malam dan awal pagi. MPK menerima banyak aduan dari penduduk kampung sekitar kawasan berkenaan yang mengadu menghidu bau busuk susulan kerja membakar plastik yang dilakukan oleh kilang haram berkenaan pada lewat malam hampir setiap hari.
Sehingga bulan Jun 2020, jumlah kilang haram yang telah diputuskan bekalan elektrik di dalam kawasan DUN Pelabuhan Klang adalah sebanyak 47 buah kilang. Kesemua kilang tersebut adalah Skrap Plastik. Pihak Majlis telah membuat satu pendakwaan ke atas kilang Opes Recycling Sdn. Bhd. memandangkan terdapat isu berkaitan pencemaran alam sekitar.
Pihak Majlis juga telah menjalankan Operasi bersepadu (di antara jabatan-jabatan dalaman MPK) pada 19 September 2020. Tindakan kompaun, notis di bawah UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Industri (MPK) dan amaran lisan telah diberikan kepada pekilang.
Bagi menangani isu pencemaran alam sekitar, MPK akan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar untuk menjalankan pemantauan ke atas effluen yang dikeluarkan oleh premis perindustrian supaya mematuhi standard yang telah ditetapkan di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturannya. Majlis juga boleh mengambil tindakan di bawah Seksyen 70 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) sekiranya terbukti berlakunya pencemaran anak sungai berpunca dari sesuatu kilang tersebut.
-
Apakah langkah pencegahan yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mencegah pencemaran alam sekitar?
Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri bagi memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan. Pelbagai usaha telah diambil untuk mengimbangkan pembangunan yang pesat dan penjagaan sumber air.
Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mewartakan semua tujuh (7) empangan di Negeri Selangor di bawah Seksyen 48, Enakmen LUAS 1999. Selain itu, sejumlah 413 (40%) daripada jumlah keseluruhan 1,026 batang sungai kini turut telah melalui proses pewartaan di bawah peruntukan yang sama. Tujuan pewartaan ini adalah untuk melindungi sungai dan rizab sungai daripada gangguan kepada kuantiti, kualiti dan persekitarannya.
Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui LUAS dan Pengurusan Air Selangor juga telah membangunkan beberapa stesen telemetri kualiti air di hulu dari muka sauk sebagai sistem amaran awal (early warning system) kepada muka sauk bekalan air jika berlakunya pencemaran di hulu.
Kerajaan Negeri melalui LUAS telah menubuhkan Jawatankuasa Pemuliharaan Sungai-sungai Negeri Selangor yang dipengerusikan Yang Berhormat EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam bagi mempergiatkan usaha dan menggalakkan penglibatan agensi, komuniti, NGO dan pihak berkepentingan dalam aktiviti pemuliharaan sungai-sungai di Negeri Selangor.
Pemantauan berkala dilaksanakan oleh Lembaga bersama agensi berkaitan bagi memastikan sumber air dan kawasan tadahannya terpelihara daripada aspek kualiti dan kuantitinya.
Penguatkuasaan bersepadu dan tindakan perundangan tegas turut sentiasa dilaksanakan antaranya siasatan, notis dan pengeluaran kompaun termasuk pendakwaan di mahkamah.
Selain itu, Kerajaan Negeri telah menghantar surat kepada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada 1 Oktober 2019 yang memberikan cadangan bagi penambahbaikan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling yang berkaitan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Manakala, kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dijalankan bagi isu-isu pencemaran lain melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu:
- Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam;
- Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Selangor, yang dipengerusikan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan
- Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna.
Di samping itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi-agensi di peringkat negeri ke atas kilang-kilang haram di kawasan Telok Gong dan Pulau Indah secara berkala selain daripada penguatkuasaan ke atas punca-punca pencemaran yang didaftarkan dalam inventori JAS.
Bagi program pemutihan kilang tanpa kebenaran, JAS memberi ulasan teknikal dari aspek kesesuaian tapak iaitu penempatan industri perlulah selaras dengan Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan garis panduan Environmental Essentials for Siting of Industries in Malaysia, EESIM 2017 terbitan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Selain itu, ulasan teknikal juga merangkumi keperluan mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) sekiranya aktiviti kilang tertakluk di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 dan keperluan mengemukakan notifikasi pemasangan alat kawalan pencemaran bagi memastikan pencemaran alam sekitar dari proses kilang dapat dicegah.